KUANTAN, 18 Feb (Bernama) -- Tempoh moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari Pahang yang akan berakhir pada 31 Mac depan tidak akan dilanjutkan, umum Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar hari ini.
Berikutan dengan pengumuman itu, semua aktiviti melombong dan pengeksportan bahan mineral berkenaan boleh diteruskan semula, namun kali ini dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.
“Moratorium tidak akan dilanjutkan selepas 31 Mac ini…Saya nampak industri bauksit di negeri Pahang ini memang ada permintaan yang tinggi dan dan keuntungan yang diperoleh oleh kerajaan juga banyak.
“Pada 2015 sahaja kerajaan negeri direkodkan menerima RM47 juta hasil pembayaran royalti, kerajaan pusat kita tidak dapat apa-apa bahagian, hanya beri kelulusan untuk permit import (AP) sahaja.
“Dalam perbincangan dengan semua pihak berkepentingan sebelum ini tidak ada satu pun yang menyatakan kita kena hentikan industri bauksit di Pahang, sama ada pemimpin politik tempatan mahupun kerajaan negeri semua bersetuju industri ini ada potensi besar dan ia perlu diteruskan,” katanya.
Dr Xavier berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan penyimpanan bauksit di sekitar daerah ini dan Pelabuhan Kuantan di sini hari ini.
Menurutnya dalam masa yang sama, sebanyak 435,000 tan metrik yang masih berada di kawasan penyimpanan di Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman perlu dikosongkan segera dalam tempoh sebulan sebelum 31 Mac depan.
Ini kerana, katanya bermula dalam SOP baharu yang akan diperkenalkan nanti, hanya bauksit yang telah dicuci, dibenarkan untuk dieksport demi menjaga alam sekitar.
“Kementerian dengan kerjasama pihak yang berkenaan telah menyediakan satu SOP baharu dan saya minta kerjasama dengan semua pihak yang berkenaan khususnya pelombong supaya mematuhi syarat dan peraturan yang kami tetapkan.
“Mana-mana pemain industri ini yang ingkar boleh dikenakan hukuman maksimum denda sebanyak RM500,000 dan tiga bulan penjara jika didapati melakukan pencerobohan dan perlombongan secara haram mengikut Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial