AM

Pantau kilang kitar semula plastik elak jadi pusat pengumpulan sampah dunia

21/02/2019 11:40 AM

Oleh Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Badan bukan kerajaan (NGO) pencinta alam sekitar, EcoKnights berharap pemantauan berterusan dilakukan terhadap kilang kitar semula sisa plastik kerana jika ia tidak diuruskan dengan prosedur yang betul boleh membahayakan kesihatan orang ramai pada jangka masa panjang.

Presidennya Yasmin Rasyid berkata secara umumnya, tidak semua sisa plastik yang diperoleh oleh kilang terbabit boleh dikitar semula kerana sisa berkenaan dikategorikan mengikut kualiti tertentu.

Katanya, prosedur pelupusan sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula secara sambil lewa, terutama oleh kilang-kilang yang beroperasi secara haram dan mengimport sisa itu dari luar negara, akan menyebabkan ia terurai menjadi mikroplastik dan nanoplastik. 

Beliau menjelaskan, mikroplastik dan nanoplastik ini akan memasuki sistem saliran seperti sungai yang akhirnya akan dialirkan ke laut dan mencemarkan hidupan laut yang menjadi sumber bekalan makanan manusia.  

“Contohnya jika kita membeli minyak enjin untuk kereta, bekasnya menggunakan plastik jenis ‘high density polyethylene’  yang boleh dikitar semula beberapa kali untuk dijadikan produk lain.

“Bagi syarikat kitar semula plastik, pastinya mereka hanya mahukan plastik bernilai kerana mereka akan memprosesnya untuk dijadikan resin dan menjualnya semula,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tidak timbul masalah jika sisa plastik tidak boleh dikitar semula dilupus dengan prosedur betul tetapi masalah akan timbul apabila banyak kilang haram membiarkannya di tempat terbuka, menyebabkannya terurai dengan sendiri lalu menjadi plastik bersaiz mikro dan nano.

Bagaimanapun, katanya, jika syarikat pengitar semula mampu melaksanakannya secara mampan, ia adalah baik untuk negara kerana ia boleh mewujudkan peluang pekerjaan sekali gus menjana ekonomi.

Tinjauan di blog milik Pusat Kitar Semula Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati pusat itu membeli sisa plastik tertentu dengan harga berbeza iaitu plastik air mineral pada 50 sen sekilogram, plastik botol berwarna (40 sen sekilogram) dan beg plastik (10 sen sekilogram).

Baru-baru ini, media melaporkan negara kini menjadi ‘pusat pengumpulan sampah dunia’ apabila 17,000 tan metrik sisa plastik yang dibawa masuk ke negara ini dari 19 negara kini berada di Jenjarom dan Kuala Langat, Selangor.

Turut dilaporkan, kilang kitar semula sisa plastik mula muncul di kawasan itu sejak 2018 kerana ingin mengambil keuntungan daripada industri kitar semula plastik yang dikatakan bernilai RM3 bilion.

Pada Januari lepas, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin bagaimanapun dilaporkan berkata 100 buah kilang kitar semula sisa plastik haram di seluruh negara akan ditutup. 

Pada Oktober tahun lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pula dilaporkan berkata, pengeluaran permit import (AP) bagi sampah plastik dihentikan serta-merta.

Zuraida berkata, menurut statistik, industri plastik di Malaysia menjana nilai ekonomi sebanyak RM30 bilion setahun dan RM600 bilion di seluruh dunia.

Pegawai Penyelidik Sahabat Alam Malaysia S. Mageswari turut bersetuju agar pemantauan dilakukan terhadap kilang memproses sisa plastik kerana dibimbangi mereka mengimport sisa berkenaan melebihi daripada yang mampu diproses.

Menurut beliau lagi, mengambil maklumat daripada pangkalan data statistik perdagangan antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), import sisa plastik ke negara ini menunjukkan peningkatan sejak 2015 hingga 2017, iaitu 249,940,844 kilogram (kg) pada 2015, 287,673,296kg (2016) dan 544,786,281kg (2017).

“Apa yang penting, kita tidak mahu Malaysia menjadi pusat kitar semula kepada negara-negara lain,” katanya.

Presiden Pertubuhan Sahabat Alam Sekitar Malaysia Datuk Abdul Malek Yusof turut melahirkan kebimbangan terhadap sisa plastik dengan berkata: “Import plastik memang perlu dihentikan, malah penggunaannya perlu dikawal khususnya dari sudut untuk mengelak pencemaran dan menjaga kesihatan. 

“Satu kajian menyeluruh penggunaan plastik di Malaysia perlu dibuat khususnya bagi menggantikannya dengan bahan lebih mesra alam, mudah biodegradasi dan boleh dikitar semula,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan