AM

KPLB cadang guna dron pantau pembangunan projek - Rina

25/02/2019 02:17 PM

KANGAR, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menggunakan teknologi dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) bagi memantau pembangunan projek kementerian di seluruh negara, kata menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Menurutnya KPLB akan menggunakan dron di kawasan projek secara menyeluruh tahun ini kerana teknologi itu dapat memberikan maklumat lebih tepat.

"Pada peringkat awal, KPLB merancang menggunakan dron di 28 daerah termiskin di seluruh negara yang dipilih untuk dilaksanakan projek pembangunan sosioekonomi,” katanya kepada media selepas meninjau teknologi dron syarikat Haas Solutions Sdn Bhd di sini, hari ini.

Rina berkata penggunaan dron selaras dengan revolusi Industri 4.0 selain boleh meliputi kawasan berpuluh kilometer di samping digunakan untuk membuat kajian pelaksanaan sesuatu infrastruktur.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Haas Solutions Sdn Bhd, Prof Dr Hazry Desa berkata syarikat itu yang dibangunkan bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mereka model dron selain turut menyediakan perkhidmatan untuk membaik pulih dron kepada orang ramai.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan KPLB agar penggunaan teknologi dron dapat diperluaskan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan