EKONOMI

Maxis, Huawei bekerjasama lonjak teknologi 5G di Malaysia

26/02/2019 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Syarikat peneraju perkhidmatan penumpuan komunikasi dan digital, Maxis telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Huawei dalam usaha melonjakkan teknologi 5G di Malaysia.

MoU yang membabitkan kedua-dua syarikat saling bekerjasama melaksanakan percubaan 5G dengan sistem dan perkhidmatan serba lengkap, dimeterai pada acara Kongres Mudah Alih Dunia 2019 yang sedang berlangsung di Barcelona.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif baharu Maxis, Gokhan Ogut berkata syarikat itu sudah lama memulakan perjalanan teknologi 5G itu menerusi percubaan secara langsung, pelaburan serta mempertingkat infrastruktur rangkaiannya agar dapat disesuaikan dengan penyelesaian pintar yang akan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.

“Kami amat gembira dapat bekerjasama dengan rakan lama, Huawei bagi menjalankan sesi percubaan 5G serta sekali lagi muncul sebagai perintis membawa teknologi terkini ke Malaysia.

“Malah, di Maxis, kami telah berupaya mengekalkan kedudukan sebagai peneraju rangkaian dari segi kelajuan, kualiti dan prestasi di Malaysia dan teruja untuk menyediakan inovasi terbaik 5G baik kepada pengguna mahu pun perniagaan di masa depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan menyifatkan kerjasama itu sebagai bukti komitmen kedua-dua syarikat terhadap masa depan 5G di negara ini.

“Sebagai peneraju penyedia infrastruktur ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) dunia, Huawei juga komited untuk memperluas sempadan perniagaan serta meninjau saluran bagi pertumbuhan baharu berteraskan produk 5G kami yang mudah, serba lengkap dan menepati semua jenis keadaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan