KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mewajibkan hanya kanak-kanak yang telah menerima suntikan vaksin imunisasi dibenar memasuki sesi persekolahan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata cadangan itu akan dikaji secara terperinci.
"Memang itu salah satu apa yang kita syorkan supaya menjadi pencegahan terhadap penyakit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Yayasan Petronas di sini, hari ini.
Isnin lepas, Bernama melaporkan beberapa pihak termasuk Persatuan Doktor Islam Malaysia dan I-MEDIK Malaysia menyarankan langkah itu dilaksana bagi melindungi kesihatan kanak-kanak daripada penyakit yang boleh dicegah seperti difteria dan campak.
Ini berikutan kes seorang kanak-kanak dua tahun di Johor yang disahkan tidak pernah menerima suntikan vaksin difteria meninggal dunia minggu lepas akibat penyakit itu.
Lima lagi kanak-kanak yang dilaporkan pernah berada dan berhubung secara terus dengan mangsa juga disahkan positif penyakit difteria.
Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menegaskan bahawa vaksin imunisasi adalah selamat dan ia tidak harus diragui kerana Jabatan dan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga telah mengeluarkan fatwa mengenai status halalnya.
Katanya, pencapaian program imunisasi pada tahun 2017 ialah 88 peratus daripada 95 peratus yang disasarkan.
"Kita galakkan ibu bapa untuk benarkan suntikan imunisasi kepada anak mereka. Jangan dengarlah (dakwaan kumpulan anti-vaksin).
"Memang mungkin ada satu dua (kes yang menpunyai reaksi negatif). Itu malang, tetapi yang lain tu, vaksin adalah selamat," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya pada pelancaran itu, Timbalan Perdana Menteri menggesa diwujudkan kerjasama erat dalam kalangan sektor awam dan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi impak yang lebih berkesan terhadap pembangunan sosial.
“Pembangunan sosial yang terangkum menjadi lebih berkesan apabila kita bergabung untuk matlamat yang sama. Hanya selepas itu barulah kita memanfaatkan apa yang terbaik boleh ditawarkan masing-masing,” katanya.
Beliau juga memuji usaha Petronas memberi RM83 juta untuk memulakan Pusat Kajian Imbak Canyon di Sabah yang akan menjadi bank penyelidikan untuk perlindungan dan pemuliharaan biodiversiti di kawasan itu.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh berkata, yayasan berkenaan ditubuhkan bagi menyelaras semua korporat dan kerja-kerja tanggungjawab sosial yang dikendalikan syarikat difokuskan kepada tiga perkara iaitu pendidikan, kebajikan dan kemajuan masyarakat, dan alam sekitar.
Beliau berkata, lebih 500 program tanggungjawab korporat telah dilaksanakan oleh Petronas sejak ia ditubuhkan pada 1974.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial