EKONOMI

CADS, NAWEM bekerjasama lancar inisiatif 'DATA FOR HER'

05/03/2019 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) --  Pusat Sains Data Gunaan (CADS) hari ini melancarkan 'DATA FOR HER' satu inisiatif yang bertujuan untuk merapatkan jurang dengan menggalakkan penyertaan wanita dalam bidang sains data. 

DATA FOR HER, yang diperkenalkan secara kerjasama dengan Persatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia (NAWEM) menyasarkan penglibatan golongan wanita daripada peringkat sekolah menengah, universiti dan yang bekerja, untuk menjadikannya satu kenyataan. 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CADS Sharala Axryd berkata di Asia Pasifik, bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dikuasai oleh golongan lelaki sebanyak 75 peratus berbanding wanita pada 25 peratus manakala di Malaysia, penguasaan golongan lelaki dalam STEM berada pada 71 peratus.

"Teknologi adalah industri yang berkembang maju menawarkan ledakan peluang yang sama bagi wanita dan lelaki. Bagaimanapun, kajian menunjukkan masih tidak ramai wanita terlibat dalam bidang ini untuk menyuarakan pandangan dan perspektif yang berharga bagi membantu memacu inovasi,” katanya pada pelancaran DATA FOR HER, di sini, hari ini.

Beliau berkata di bawah inisiatif DATA FOR HER, satu siri bengkel kerja seluruh negara akan diadakan merangkumi topik seperti pengekodan, kecerdasan buatan (AI), Revolusi Perindustrian Keempat  (IR 4.0) dan masa depan pekerjaan.

"Kerjasama bersama NAWEM dalam usaha ini akan membawa kesedaran kepada situasi semasa, mengetengahkan peluang pertumbuhan yang ada dan memperkenalkan manfaat kepelbagaian jantina,” katanya. 

Presiden NAWEM, Sarojini Ruth Rajahser berkata DATA FOR HER penting bagi menyokong wanita untuk terus menjadi sebahagian daripada tenaga kerja. 

"Forum Ekonomi Dunia melaporkan secara mutlak golongan wanita akan berdepan kehilangan tiga juta pekerjaan tetapi hanya memperoleh 0.55 juta pekerjaan, yang bermakna lebih daripada lima pekerjaan hilang bagi setiap pekerjaan yang diperoleh,” katanya. 

Data terbaharu oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja di Malaysia ketika ini adalah pada 54.6 peratus daripada 15 juta jumlah tenaga kerja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan