KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan hari ini mengumumkan pelantikan bekas Timbalan Pengurus Besar 2 di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Jeffrey Chew Gim Eam sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Teluk Ewa (SPPP/SPPP Teluk Ewa).
Pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan selaras dengan Seksyen 5(1)(a) Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1955, kata kementerian itu dalam satu kenyataan malam ini.
“Tempoh pelantikan yang diperkenankan ialah selama dua tahun berkuat kuasa mulai 27 Feb 2019 sehingga 26 Feb 2021,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pelantikan Jeffery Chew adalah tepat pada masanya selaras dengan kepentingan peranan dan fungsi yang dimainkan oleh SPPP/SPPP Teluk Ewa dalam sektor maritim negara.
Dengan pengalaman Jeffery Chew selama 25 tahun dalam bidang perniagaan dan korporat, Kementerian Pengangkutan menaruh sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menerajui SPPP/SPPP Teluk Ewa bagi memastikan perkhidmatan pelabuhan yang cekap, bersepadu, mesra pengguna dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa, kata kenyataan itu.
Sebelum dilantik sebagai Pengerusi SPPP/SPPP Teluk Ewa, Chew pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengurus Besar 2 di PDC dengan mengawal selia bahagian strategi, perancangan dan keusahawanan, komunikasi korporat dan pengurusan kontrak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial