JOHOR BAHRU, 7 Mac (Bernama) -- Jumlah mangsa ekoran pembuangan bahan kimia di Sungai Kimkim, dekat Pasir Gudang, di sini kini 35 orang setakat 5 petang tadi.
Pengarah Jabatan Kesihatan Dr Selahuddeen Abdul Azeez berkata 26 orang daripadanya telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dengan selebihnya mendapat rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang ke rumah.
"Daripada jumlah itu,16 merupakan pelajar sekolah manakala selebihnya adalah orang dewasa.
"Seramai 21 mangsa ditempatkan di wad biasa, lima di unit kecemasan dan tiga di unit rawatan rapi (ICU)," katanya menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Johor, di sini, sebentar tadi.
Dr Selahuddeen berkata empat anggota kesihatan dari HSI dan seorang anggota dari klinik kesihatan merupakan antara yang dirujuk ke hospital berkenaan. --
Sebelum itu, pasukan perubatan dan kesihatan dari Pejabat Kesihatan daerah Johor Bahru, Pasir Gudang dan Unit Trauma HSI turut berada di kawasan pencemaran untuk menjalankan penilaian dan response bersama agensi lain.
Jabatan Kesihatan negeri juga telah mengeluarkan amaran kepada klinik kesihatan, klinik swasta, hospital kerajaan dan swasta bagi melaporkan kes yang mengalami pedih mata, sakit dada, sesak nafas disyaki terhidu dan terdedah kepada bahan kimia itu.
"Pemantauan akan teruskan dilakukan sehingga tiada kes dilaporkan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan kejadian," kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial