AM

Zainuddin Yaacob ketua polis Kedah baharu

11/03/2019 12:47 PM

ALOR SETAR, 11 Mac (Bernama) -- Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob dilantik sebagai Ketua Polis Kedah yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengambil alih tugas Datuk Abd Rahim Jaafar yang menggalas jawatan Pengarah Pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Majlis serah terima tugas antara mereka yang berlangsung hari ini di Dewan Tan Sri Khalid, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Terdahulu, Noor Rashid memakaikan pingat kenaikan pangkat Komisioner Polis kepada Zainuddin sebelum menyerahkan surat pelantikan sebagai Ketua Polis Kedah.

Turut berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) negeri di antara Datin Anikah Othman dan Datin Norrizah Nordin. 

Zainuddin, 58, berasal dari Kuala Langat, Selangor mempunyai Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1987 dan telah berkhidmat dalam pasukan itu selama 32 tahun.

Berucap pada majlis itu, Zainuddin yang pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Perak menzahirkan komitmennya untuk melaksanakan inisiatif dan program transformasi untuk pasukan polis di negeri ini selaras dengan aspirasi pucuk pimpinan PDRM.

“Saya akan teliti pencapaian kontinjen Kedah yang lepas bagi merangka program dan aktiviti yang sesuai untuk memastikan negeri ini terus menjadi tempat yang selamat buat pelancong dan penduduk di sini.

“Jadi, saya seru semua warga IPK Kedah untuk bergerak ke hadapan bagi memastikan PDRM terus relevan dengan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi untuk memerangi jenayah di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Abd Rahim, 58, pula berkata dalam tempoh lima bulan menggalas tugas Ketua Polis Kedah, kadar jenayah termasuk berkaitan dadah di negeri ini dapat dikurangkan selain menjaga hubungan baik antara rakyat dan polis.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan