EKONOMI

Pembiayaan P2P berkembang 452 peratus kepada RM180 juta pada 2018

14/03/2019 12:09 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Pembiayaan antara rakan setara (P2P) di Malaysia melonjak 452 peratus kepada RM180.05 juta pada 2018 daripada RM32.60 juta pada 2017.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam Laporan Tahunan 2018 berkata sejumlah 1,901 kempen telah berjaya dianjurkan oleh 602 penerbit pada 2018 berbanding 604 kempen dan 79 penerbit pada 2017.

"Kira-kira 91 peratus kempen berjaya mengumpul dana sehingga RM200,000," katanya.

Majoriti atau 57 peratus pelabur berumur di bawah 35 tahun, diikuti 35 hingga 45 tahun (30 peratus), dan 46 hingga 55 tahun dan ke atas (13 peratus).

Menurut SC, 93 peratus pelabur melabur dalam pelbagai kempen.

SC turut melaporkan bahawa 87 peratus daripada pelabur datang dari segmen runcit dan pelabur tempatan mewakili 99 peratus daripada keseluruhan pelabur.

Bagaimanapun, jumlah pendanaan ekuiti ramai (ECF) menurun kepada RM15.06 juta pada 2018 daripada RM24.14 juta pada tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, 47 peratus daripada kempen berjaya mengumpul RM500,000 dan ke bawah, diikuti RM500,000 - RM1.5 juta (29 peratus) dan RM1.5 juta - RM3 juta (24 peratus).

SC berkata, pelabur runcit merangkumi 54 peratus daripada keseluruhan pelabur, diikuti pelabur sofistikated (27 peratus), pelabur budiman (18 peratus) dan lain-lain (satu peratus).     

Pelabur tempatan menyumbang 94 peratus daripada keseluruhan jumlah pelabur.             

Sementara itu, SC turut melaporkan sebanyak 805 Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL) baharu telah dikeluarkan bagi menjalankan pelbagai aktiviti yang dikawal selia.

“Segmen khidmat nasihat terus menarik kemasukan peserta baharu, terutama segmen perancangan kewangan,” katanya.

Sehingga 31 Dis 2018, terdapat 242 pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal yang menjalankan pelbagai aktiviti yang dikawal selia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan