KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Pelaksanaan elaun minimum untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjalani latihan industri perlu diteliti dengan mendalam agar tidak membebankan industri, demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata jika diwajibkan, langkah itu boleh membebankan majikan khususnya perusahaan kecil dan sederhana, sekali gus membataskan kemampuan mereka untuk mengambil pelajar praktikal.
“Tujuan utama penempatan pelajar ialah untuk mempraktikkan teori yang dipelajari di IPT dalam situasi sebenar di tempat kerja. Oleh itu, penetapan atau pemberian elaun kepada pelajar praktikal adalah bergantung kepada peruntukan majikan masing-masing,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu usaha kerajaan untuk menetapkan kadar elaun minimum bagi pelajar praktikal sepanjang latihan di sektor swasta atau awam.
Teo berkata cadangan mewajibkan majikan mengambil sekurang-kurangnya seorang mahasiswa setahun juga memerlukan kajian memandangkan perkara tersebut tidak termaktub dalam undang-undang sedia ada selain pelbagai aspek lain termasuk jumlah majikan dalam industri bagi memastikan ia mampu menampung keperluan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial