EKONOMI

Pelancongan halal bidang pertumbuhan berpotensi tinggi - Mastercard

04/04/2019 08:31 PM

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Syarikat pembayaran dan teknologi global, Mastercard berpendapat bahawa perbelanjaan besar oleh pelancong Islam di seluruh dunia merupakan isyarat menunjukkan potensi besar dalam industri pelancongan halal.

Menyedari sepenuhnya peningkatan jumlah pembelian dalam talian oleh pelancong Islam generasi baharu, Naib Presiden Pembangunan Pasaran Mastercard, Devesh Kuwadekar berkata kepentingan segmen itu tidak boleh dipertikaikan.

Beliau menegaskan bahawa percambahan pesat dalam membolehkan teknologi dalam talian dan kaedah pembayaran serta peningkatan pengguna digital Islam telah menyumbang kepada pertumbuhan dalam ruang pelancongan halal.

Indeks Pelancongan Islam Global Penarafan MasterCard-Crescent 2018 mengunjurkan bahawa perbelanjaan pelancong Islam global akan mencapai RM906 bilion tahun depan dan RM1.2 trilion pada 2026.

"Pengguna dan entiti melihat pelancong China, dan percaya bahawa ia adalah cukup besar (pasaran) dan mereka datang dari satu negara, jadi anda boleh bersedia (dari segi menawarkan produk khusus) namun untuk pelancong Islam, cabarannya ialah mereka datang dari seluruh dunia.

"Jumlah pelancong Islam yang berbelanja hampir sama, jika tidak lebih daripada wang (yang dibelanjakan) yang kita menjangkakan untuk pelancong Cina," kata Kuwadekar kepada pemberita selepas perbincangan panel mengenai halal dalam sesi pelancongan di sini hari ini.

Sidang itu diadakan bersempena dengan  Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019 yang sedang berlangsung sekarang.

Pasaran perjalanan halal terus menjadi salah satu segmen pelancongan paling pesat berkembang di seluruh dunia, dengan 131 juta ketibaan pelancong Islam dianggarkan pada 2017 berbanding 121 juta ketibaan yang dicatatkan pada 2016.

Menurut Kuwadekar, syarikat itu telah mula bertindak dan memainkan peranan aktif untuk menyokong entiti termasuk CrescentRating untuk memastikan perkhidmatan disediakan untuk segmen itu selain memastikan kepuasan dan keselesaan para pelancong Islam.

Mengulas mengenai tiga segmen produk kewangan iaitu kad kredit, kad debit dan kad prabayar, beliau berkata segmen kad kredit dan kad debit mempunyai produk tertentu untuk masyarakat Islam.

"Permintaan untuk kad kredit dan kad debit Islam adalah besar dan ia bukan sahaja datang daripada penduduk Islam, dengan jumlah pengeluaran kad, terdiri kad kredit, debit dan prabayar mencatatkan pertumbuhan dua angka setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, melihat segmen kad prabayar, Kuwadekar berkata para pengguna sedang mengenali lebih mendalam mengenai produk tersebut.

Mengenai sama ada beliau menjangkakan pertumbuhan yang sama untuk segmen prabayar, beliau menjawab tidak.

"Saya rasa kita mungkin tidak melihat pertumbuhan yang tinggi pada pemulaan, bagi Malaysia, ia masih dalam keluk pembelajaran namun kami melihat pertumbuhan yang sihat dan mungkin pada masa akan datang, segmen prabayar mungkin mempunyai tawaran pengkhususan produk Islamik," katanya.

Bagi Mastercard, syarikat itu secara aktif melakukan pelaburan dalam membangunkan kad prabayar dan akan melancarkan kad pembayaran digital, yang bernama "Happy", pada Mei, katanya.

Kad pembayaran digital adalah kerjasama antara Mastercard, Digi dan Manage Pay.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan