AM

X-Break 15 minit di setiap kementerian – Dr Dzul 

07/04/2019 12:02 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kabinet bersetuju agar setiap kementerian mengadakan aktiviti senaman selama 15 minit sehari bagi membudayakan gaya hidup sihat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata program yang bernama ‘X-Break’ itu memerlukan setiap kementerian mengadakan aktiviti senaman sama ada pada sebelah pagi atau petang untuk kakitangan mereka. 

“Cadangan itu sudah dipersetujui oleh semua jemaah Menteri baru-baru ini,  kami cadangkan 15 minit setiap hari sama ada pagi atau petang (untuk bersenam) tetapi ia fleksibel mengikut kesesuaian setiap kementerian. 

“Sekarang ini memang ada kementerian yang sudah lakukan, tetapi kami akan keluarkan satu garis panduan buat semua yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen hidup aktif ‘Big WALK’ di sini, hari ini. 

Beliau berkata sehubungan itu pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) esok untuk merangka satu Pekeliling bagi diedarkan kepada setiap kementerian. 

Tahun lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mencadangkan agar kakitangan pejabat kerajaan mahupun swasta memperuntukkan masa selama 15 minit melakukan aktiviti senaman. 

Perdana Menteri berkata kakitangan boleh berbuat demikian dengan berehat seketika sekitar pukul 11 pagi di luar pejabat berhawa dingin.

Terdahulu kira-kira 3,000 perserta bersenam dan berjalan sejauh tiga kilometer pada program Big WALK di ibu kota hari ini dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan