KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Zon larangan penggunaan telefon bimbit atau peralatan komunikasi lain yang mampu merakam maklumat, telah diwujudkan bagi mengelakkan penyebaran dan kebocoran maklumat rahsia rasmi kerajaan.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Jabatan Perdana Menteri menyatakan zon tersebut terpakai bagi mana-mana mesyuarat penting yang dikategorikan sebagai kritikal dan berisiko tinggi.
Larangan ini sebagaimana yang ditetapkan oleh surat Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia bertarikh 31 Jan 2019 bagi mengelakkan sebarang penyebaran dan kebocoran maklumat.
Jawapan bertulis itu bagi menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-DAP Jelutong) yang ingin tahu langkah-langkah diambil Jabatan Peguam Negara untuk memastikan segala urusan kerja Jabatan Peguam Negara terjamin kesulitannya dan tidak berlaku sebarang kebocoran.
RSN Rayer merujuk kebocoran surat pekeliling yang dikeluarkan oleh jabatan itu mengenai urusan perbicaraan mahkamah.
Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis itu juga menyebut Jabatan Peguam Negara mengambil perhatian serius berhubung isu kebocoran maklumat rahsia rasmi kerajaan.
“Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara telah mengambil langkah untuk memperketat lagi tahap kawalan rahsia rasmi kerajaan di jabatan ini termasuk memberi taklimat tentang pengendalian rahsia rasmi kerajaan kepada semua pegawai dan kakitangan Jabatan Peguam Negara.
“Langkah ini diambil sebagai peringatan dan kesedaran berterusan kepada semua pegawai dan kakitangan tentang kewajipan untuk pematuhan kepada peraturan dan arahan keselamatan yang berkuat kuasa seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Arahan Keselamatan serta Aku Janji yang ditandatangani oleh semua penjawat awam,” kata jawapan tersebut.
Selain itu, Jabatan Peguam Negara juga mengambil langkah-langkah keselamatan dalam aspek Sistem Teknologi Maklumat selain mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai yang didapati bertanggungjawab ke atas salah laku penyebaran rahsia rasmi kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial