KANGAR, 11 April (Bernama) -- Tidak semua produk makanan yang tertera kod ‘E’ adalah haram, kata Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Katanya kod tersebut diguna pakai bagi menerangkan mengenai bahan tambah (aditif) dalam sesuatu produk makanan.
“Tidak semua produk yang tertera kod E haram kerana ada bahan tambah daripada sumber halal. Justeru, pengguna khususnya umat Islam tidak perlu bimbang,” katanya semasa menyampaikan ceramah ‘Viral Halal: Sejauh Mana Kebenarannya’ pada seminar Yakini Halal Malaysia peringkat negeri Perlis di sini hari ini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyempurnakan perasmian seminar tersebut di Dewan Warisan di sini.
Kod E diguna pada label makanan oleh negara Kesatuan Eropah yang merujuk kepada bahan aditif yang dibenarkan dan lazimnya dikaitkan mengandungi bahan bersumberkan babi atau khinzir.
Dr Sirajuddin berkata Jakim mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi untuk mengeluarkan pensijilan halal kod-kod makanan.
Beliau berkata sikap rakyat Malaysia yang mudah melatah dan cepat menghukum sesuatu produk apabila sahaja terdapat kod E sebagai tidak halal seperti kod E110 berkaitan warna bahan yang digunakan.
“Semak dulu kesahihannya di laman web http://www.halal.gov.my sebelum menghukum. Di sini kita boleh tahu produk itu halal atau tidak. Pengguna harus bijak membuat penilaian,” kata Dr Sirajuddin.
Program anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis dan Jakim itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jakim Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.
Sebelum itu, dalam titah perasmian, Tuanku Syed Faizuddin mahu pengusaha makanan Industri kecil dan Sederhana (IKS) di Perlis merebut peluang mendapatkan pensijilan halal supaya produk mereka diterima secara meluas.
Pada majlis itu, baginda mengurniakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada tujuh syarikat pengeluar makanan dan minuman termasuk sebuah hotel dan sebuah rumah sembelihan manakala lapan agensi kerajaan di Perlis menerima surat pelantikan panel pengesahan halal peringkat negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial