GEORGE TOWN,11 April (Bernama) -- Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang menyaksikan petugas penguatkuasaannya menyamar sebagai penumpang sejak Februari lepas, membolehkan enam orang lelaki disyaki ‘ulat teksi’ ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) setakat ini.
Pengarahnya Mohamat Johari Mat Not hari ini berkata keenam-enam lelaki yang berumur di antara 35 dan 45 tahun itu ditahan sejurus selepas mereka cuba memujuk pegawai-pegawai penguatkuasa yang menyamar itu untuk menggunakan ‘perkhidmatan’ mereka.
“Mereka menawarkan tambang sehingga 40 peratus lebih murah berbanding tambang limosin di lapangan terbang itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau perjalanan operasi Ops Ulat LTAPP itu di sini.
Menurutnya keenam-enam lelaki itu kini disiasat di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 iaitu memujuk atau mendesak dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“Siasatan setakat ini mendapati mereka ini menggunakan kenderaan persendirian untuk menjalankan perkhidmatan haram mereka dengan menunggu penumpang di balai ketibaan LTAPP.
Mohamat Johari berkata operasi itu juga bertujuan untuk menjamin keselamatan orang ramai dengan mengelakkan mereka daripada menggunakan perkhidmatan tidak berlesen ini selain untuk menjaga imej negara dari dicalar aktiviti ulat teksi.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata JPJ Pulau Pinang akan menjalankan pemantauan berterusan di Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong bagi membanteras kegiatan ulat tiket yang menjejaskan pengusaha-pengusaha bas di situ.
"Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap ulat-ulat tiket ini kerana kami dimaklumkan ada di kalangan ulat tiket ini yang cuba mengugut pelanggan yang enggan membeli tiket daripada mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial