EKONOMI

VentureTECH meterai pelaburan strategik RM10 juta dalam CMC Group

26/04/2019 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- VentureTECH Sdn Bhd telah memeterai pelaburan strategik RM10 juta dalam CMC Group Sdn Bhd untuk menyokong pertumbuhan peringkat akan datang bagi penyediaan perkhidmatan kejuruteraan dan pembinaan dalam segmen pengangkutan awam, komunikasi maklumat dan kuasa dan tenaga.

Pengarah Urusan VentureTECH Dr Norida Abdul Rahman berkata pelaburan dalam CMC Group dipandu oleh misi untuk membina perniagaan Malaysia yang kukuh dalam industri tambah nilai dan pertumbuhan tinggi yang mampu memastikan peningkatan sosio-ekonomi dan memberikan faedah-faedah yang berkesan.

“Sama seperti syarikat pelabur yang lain, kami mahu berkembang bersama-sama dengan CMC Group, dan akan mencapai itu dengan memanfaatkan platform pewujudan nilai kami terutamanya dalam membantu syarikat pelabur kami untuk mendapatkan pasaran dan rakan kongsi untuk pengembangan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk memperkukuhkan lagi kedudukan kami di negara ini dan rantau, CMC Group akan memanfaatkan profil daya saingnya untuk merebut peluang dalam sektor pengangkutan dan komunikasi maklumat yang semakin berkembang di Asia Tenggara.

Selain itu, bagi usaha yang sama, CMC Group turut memperuntukkan lebih banyak sumber untuk pusat inovasinya agar berterusan mengeluarkan penyelesaian tambah nilai kepada pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutif CMC Group Hazwan Alif Abdul Rahman berkata syarikat komited untuk terus membangunkan ekosistem perniagaan Malaysia menerusi pelbagai inisiatif bersama-sama dengan VentureTECH, seperti program pembangunan vendor dan pengurusan bakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan