AM

Program Skim Pelajar Emas Pulau Pinang dikaji semula - Exco

03/05/2019 12:08 AM

GEORGE TOWN, 2 Mei (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang sedang meneliti dan mengkaji keperluan meneruskan Program Skim Pelajar Emas sebanyak RM100 yang diberikan setiap tahun, di bawah program-program I-Sejahtera negeri.

Pengerusi Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata kerajaan negeri sedang mengkaji semula program berkenaan, melalui Jawatankuasa Semakan Semula Program Kebajikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

"Semakan semula itu dibuat memandangkan berlaku pertindihan bantuan dengan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan yang turut memberikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada murid yang bersekolah rendah hingga menengah," katanya ketika sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini malam ini.

Program Skim Pelajar Emas ini merupakan program bantuan yang diberikan kepada murid darjah satu dan empat untuk sekolah rendah, dan tingkatan satu dan empat untuk sekolah menengah di Pulau Pinang.

Phee berkata kerajaan negeri berpandangan bahawa bantuan daripada Kementerian Pendidikan lebih menyeluruh dan memfokuskan kepada golongan yang lebih memerlukan.

"Walau bagaimanapun, kajian lebih terperinci perlu dilakukan dan perlu mengambil kira analisis data-data pelajar sedia ada daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang," katanya.

Antara program-program lain yang termasuk dalam I-Sejahtera adalah Program Penghargaan Warga Emas, Program Bantuan Ibu Tunggal, Program Bantuan OKU, Program Anak Emas dan Program Bantuan Ibu Emas.

Sementara itu, Phee berkata penguatkuasaan Kempen "No To Plastic Straw" kerajaan negeri akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan tiga fasa, di mana fasa pertama melibatkan kempen kesedaran dari April hingga September tahun ini, penguatkuasaan secara berhemah dari Oktober tahun ini hingga Mac 2020 dan penguatkuasaan sepenuhnya bermula April 2020 selepas tempoh 12 bulan.

Katanya, premis perniagaan minuman dan makanan yang wajib melaksanakan polisi tersebut adalah restoran, kedai makanan dan minuman, kedai kopi, kafe, pub, kedai serbaneka, kedai serbaneka di stesen minyak, medan selera, pusat penjaja, kompleks makanan, kenderaan saji makanan dan minuman, pasar malam, pasar pagi, uptown market, kantin dan penjaja.

Beliau turut menyeru kepada semua pihak untuk menyokong kerajaan negeri dengan memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan pelaksanaan Kempen Tak Nak Plastik Sekali Guna ini.

Persidangan DUN Pulau Pinang ini akan bersambung esok.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan