Lelaki cedera parah tangan kiri terkena letupan mercun bola [ 12m ago ]

Saranan harga minimum pemilikan hartanah oleh warga asing akan dibincang

Tarikh kemaskini: 04/05/2019
Gambar hiasan
JOHOR BAHRU, 4 Mei (Bernama) -- Saranan sesetengah pihak supaya kerajaan menurunkan harga minimum pemilikan hartanah oleh warga asing di negeri ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Johor akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri Dzulkefly Ahmad berkata perbincangan itu perlu kerana pihaknya mahu mendengar pelbagai pandangan daripada pemain industri yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sektor perumahan.

Beliau berkata saranan itu sebelum ini dikemukakan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) kepada kerajaan negeri ketika pelancaran Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2019, di sini, 26 April lepas.

“Baru-baru ini, Rehda ada mengesyorkan supaya kerajaan mempertimbangkan semula satu daripada strategi supaya rumah yang siap dibina tidak terjual dapat dijual dengan cara kerajaan menurunkan harga pemilikan hartanah warga asing daripada RM1 juta kepada satu harga yang lebih munasabah iaitu kurang daripada RM1 juta.

“…dan kita mengambil maklum tentang pandangan dan cadangan tersebut dan akan kita bincangkan, kemungkinan dalam mesyuarat exco yang akan datang,” katanya.

Dzulkefly memberitahu demikian sebagai menjawab pertanyaan wartawan sama ada terdapat desakan daripada pihak pemaju untuk menurunkan harga minimum sedia ada susulan angka rumah berharga RM500,000 dan ke atas yang tidak terjual meningkat pada tahun lepas.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Pengundian Terbuka Rumah Mampu Biaya Kategori C (RMBC) bagi Pangsapuri Taman Pulai Mutiara Pulai di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA) di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata tahun lepas Johor mencatatkan sebanyak 3,626 rumah berharga RM500,000 dan ke atas tidak terjual yang jika mengikut pecahan paling banyak membabitkan jenis hartanah dan pangsapuri iaitu 1,278 unit.

Hartanah lain seperti rumah teres dua dan tiga tingkat pula mencatatkan angka tidak terjual sebanyak 1,350 unit manakala rumah berkembar (103 unit), semi-detached dua dan tiga tingkat (580 unit), townhouse (62 unit), cluster (253 unit).

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu