AM

Peniaga mahu arahan tutup kedai ketika tarawih diteliti semula

07/05/2019 10:36 PM

KOTA BHARU, 7 Mei (Bernama) -- Ada dalam kalangan peniaga di bandar ini tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri Kelantan yang mengarahkan operasi perniagaan restoran ditutup bermula pukul 8.30 hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan.

Pemilik sebuah restoran berusia dalam lingkungan 40-an yang hanya ingin dikenali sebagai  Maryam,   berkata arahan baharu itu agak merisaukannya kerana perlu menanggung kos perniagaan termasuk membayar gaji 15 orang pekerjanya.

"Kita faham hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat menunaikan solat sunat Tarawih namun mungkin arahan menghentikan operasi perniagaan perlu diteliti semula.

Pekerja dan pemilik restoran mempunyai tanggungjawab yang lebih besar bagi menyediakan keperluan keluarga dan saya rasa arahan tersebut terlalu drastik untuk diikuti oleh peniaga," katanya ketika ditemui Bernama di sini, malam ini.

Beliau turut mempertikaikan mengapa arahan penutupan operasi perniagaan hanya dikenakan ke atas kedai makan dan restoran dan bukan secara menyeluruh kepada semua jenis perniagaan.

"Apa yang kami faham hanya kedai makan dan restoran yang dikenakan arahan tersebut. Macam mana dengan pasar raya dan restoran makanan segera...adakah mereka dikecualikan?," soalnya.

Sementara itu, ibu tunggal Aliza Ahmad, 45, berkata setiap tahun dia menumpang di sebuah kedai makan bagi menjual colek pada bulan Ramadan untuk menampung keperluan empat anaknya.

"Memang setiap tahun saya menjual pelbagai jenis colek untuk menambah pendapatan bagi membeli pakaian dan keperluan hari raya kami sekeluarga.

Jika arahan ini dikuatkuasakan saya perlu mencari alternatif lain untuk mencari pendapatan bagi persediaan hari raya tahun ini," katanya.

Dua hari lepas, satu surat arahan berhubung penutupan operasi kedai makan dan restoran telah dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang berkuatkuasa serta merta.

Arahan itu dikeluarkan bagi menghormati bulan Ramadan selain menarik rakyat mengerjakan solat Tarawih berjemaah di masjid atau surau.

-- BERNAMA  


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan