FOKUS BERNAMA

Bangunkan Tanah Terbiar Untuk Tambah Hasil Makanan

14/05/2019 12:58 PM

Oleh Kurniawati Kamarudin

Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada import bahan makanan. Siri kedua daripada empat bahagian ini memberi fokus kepada pembangunan tanah terbiar dengan menghasilkan sumber makanan sebagai antara langkah terbaik bagi menangani isu ini.

 

KUALA LUMPUR (Bernama) --  Kerajaan perlu membentuk dasar pembangunan pertanian yang lebih komprehensif demi memperkasa sektor pengeluaran makanan bagi memastikan jaminan bekalan makanan untuk rakyat negara ini.

Bagi menangani isu ini, strategi jangka panjang, sederhana dan pendek perlu dirangka dalam usaha membangunkan semua tanah pertanian terbiar agar boleh dioptimumkan produktivitinya.

Perubahan dasar ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi perindustrian sejak hujung 1970-an  membawa kepada penghijrahan golongan belia ke bandar dan telah menyebabkan hanya orang-orang tua yang tidak berkeupayaan tinggal mengusahakan tanah .

Akhirnya, disebabkan faktor usia dan modal, tanah yang diusahakan tidak mampu lagi dikerjakan dan terbiar begitu sahaja.

 

SEMAK SEMULA DPN

Mengulas isu yang dibangkitkan, Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA), Profesor Dr Ismail Omar mencadangkan kerajaan pusat melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melantik kumpulan pakar tanah, pertanian, ekonomi  untuk mengkaji semula Dasar Pertanian Negara (DPN) yang digubal pada 1984 -1991.

Menurut beliau, semakan semula dasar itu barangkali dapat menunjukkan punca tanah terbiar yang membawa kepada pencapaian keluaran pertanian yang sederhana sehingga menyebabkan komoditi eksport meningkat saban tahun.

Contohnya, penggunaan tanah bekas lombong untuk maksud penghasilan sayur-sayuran dan buah-buahan daripada 300,000 hektar tanah bekas lombong yang ada di seluruh negara.

Begitu juga dengan Dasar Pertanian II pada 1992-1997, Dasar Pertanian III (1998 - 2010) dan Dasar Agromakanan (2011 - 2020) dengan mengambil kira pencapaian terdahulu serta semasa terutama dengan merujuk kaitan antara tanah terbiar dengan produktiviti tanah pertanian.

“Semakan dan rujukan secara terperinci terhadap hanya 12 peratus daripada 30,000 hektar tanah wakaf yang dimajukan di seluruh negara dapat memberikan punca sebenarnya berlakunya penggunaan tanah yang tidak mencapai tahap optimum. 

“Oleh yang demikian, barangkali beberapa pindaan penting perlu dilakukan, dimansuh atau diperkasakan semula. Menangani perubahan dengan cara yang terpimpin perlu dibuat selaras dengan dinamiknya institusi kehidupan ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ismail berkata kajian semula yang menyeluruh terutama menyentuh capaian sasaran dan evolusi pertanian adalah mustahak bagi menentukan hala tuju pertanian negara.

Ini  termasuklah penggredan kualiti kesuburan tanah, pemilikan tanah, pembenihan dan pemasaran.

"Mereka perlu mengkaji semula isu tanah pertanian terbiar ini dengan mendalam. Seterusnya, mengenal pasti punca wujudnya tanah terbiar daripada pelbagai sudut dengan tujuan untuk menyemak semula dasar, strategi dan tindakan jangka panjang, sederhana dan jangka pendek," katanya

Beliau yang juga pensyarah kanan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn menjelaskan dalam usaha sedemikian,  perlu juga mengkaji apa yang telah, sedang dan akan dilakukan di beberapa negara luar. Ini terutama negara pengeluar bahan makanan, sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan.

Di Belanda misalnya, dengan keluasan yang hampir sama dengan Malaysia dan tanah yang berada di bawah paras laut, negara itu adalah negara pengeluar sayur-sayuran utama di Eropah.        

"Bukan setakat mengeluarkan cili, asparagus dan bunga tulip malahan mereka juga menghasilkan barang-barang makanan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan yang berkualiti tinggi untuk memenuhi permintaan luar negara.

"Jangan terkejut, jikalau kita diberitahu antara negara pengeksport bunga-bungaan yang terbesar di dunia termasuklah Israel. Singapura pula pengeksport minyak wangi gaharu yang terkenal di dunia. Sedangkan tiada sepokok pun pohon gaharu yang ditanam di negara pulau itu," katanya. 

 

MALAYSIA NEGARA YANG SUBUR

Malangnya di Malaysia, negara yang kaya dengan tanah yang subur, jauh daripada malapetaka alam dan kos tenaga kerja yang masih rendah tetapi  banyak mengimport makanan daripada negara luar.

Statistik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menunjukkan pada 2017 jumlah import buah-buahan dan sayur-sayuran adalah lebih kurang RM8.9 bilion sementara pada 2018, RM8.5 bilion.

Untuk import buah-buahan bagi 2017, China menduduki tempat pertama dengan nilai import RM830.08 juta, diikuti Afrika RM518.43 juta dan ketiga, Amerika Syarikat RM467.24 juta.

Import sayur-sayuran Malaysia pula menyaksikan China sekali lagi menduduki tempat pertama bernilai RM2.48 bilion diikuti India RM538.32 juta dan Amerika Syarikat, RM405.86 juta.

Menurut Ismail, Malaysia mempunyai pelbagai jenis buah-buahan tempatan seperti langsat, manggis, dokong, mempelam, kuinin, kelubi dan jambu. Ada antara buah-buahan dan sayuran tidak bermusim dan keluarannya sepanjang tahun, katanya.

 Ada buah-buahan di negara kita yang tumbuh daripada akar (ubi), batang, dahan, pucuk (ulam) dan sebagainya tetapi malangnya, hanya beberapa jenis buah-buahan sahaja yang dapat kita eksport ke luar negara.

Antaranya termasuklah durian, manggis dan mempelam harum manis. Namun begitu, jumlah dan nilai eksport masih jauh ketinggalan berbanding negara luar, katanya.

Apa yang dialami negara ini jauh berbanding dengan Thailand yang buat masa ini rancak mengeksport ubi kayu dan jantung pisang ke Eropah.

 Banyak sumber makanan yang sesuai ditanam pada tanah terbiar terutama tanah sawah yang tidak diusahakan lagi dengan penanaman padi. Pada masa yang sama, Malaysia mengimport beras dari Thailand dengan jumlah yang amat besar. Dianggarkan Malaysia mengimport satu juta tan beras setahun bernilai kira-kira RM1.4 bilion.

“Walaupun ada petani menanam padi tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan dan kita terpaksa import beras. Begitu juga dengan kelapa yang mana kita terpaksa import berjuta-juta biji kelapa daripada negara jiran, Indonesia.

"Belum lagi sayur-sayuran dan buah-buahan sedangkan tanah kita subur. Kebanyakan rakyat kita tidak bersyukur sedangkan  tanah mempunyai kepentingan yang begitu tinggi dalam kehidupan manusia sekiranya ditadbir dan diurus dengan baik," katanya.

 

KEPENTINGAN KESELAMATAN MAKANAN

Apakah punca terjadinya keadaan sedemikian? Apakah Dasar Pertanian kita yang ketinggalan? Atau sektor pertanian yang kurang diminati atau petani yang kurang motivasi ?

Bagi menyelamatkan keadaan dan menambah nilai keselamatan makanan, tindakan segera perlu diambil. 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ishak Ismail memberitahu Bernama, keselamatan makanan negara penting bagi memastikan pengeluaran makanan negara mencukupi untuk rakyat dan ia menjadi salah satu kekuatan negara selain daripada kekuatan pertahanan dan diplomatik.

Menurut beliau, Kementerian Pertanian Malaysia sedang menambah baik Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 dengan mengambil kira perkembangan, keperluan dan isu semasa ke arah memertabatkan lagi sektor agromakanan negara supaya lebih berdaya saing.

Tegas beliau, isu tanah terbiar sememangnya merupakan satu pembaziran sumber yang amat merugikan negara.

"Saya berharap kerajaan-kerajaan negeri dapat mengenal pasti inventori tanah terbiar ini. FAMA boleh membantu menghubungkan pemilik tanah dengan pelabur, koperasi dan petani komersial melalui sistem pajakan tanah dan perkongsian strategik yang dapat menguntungkan kedua-dua belah pihak," katanya.

Sementara itu, petani tempatan juga perlu berubah dengan mentransformasikan kaedah pengeluaran mereka kepada lebih moden, menggunakan teknologi terkini yang berskala besar dan seterusnya dapat mengeluarkan hasil bermutu tinggi pada kos yang kompetitif.

Pengeluaran juga perlu dirancang dengan teliti yang berpacukan pasaran berbanding berpacukan pengeluaran Jaminan Keselamatan Makanan.

"Masalah sektor pertanian yang perlu difokuskan adalah berkaitan dengan 80 peratus pekebun sara diri dan pekebun kecil. Bagi mengatasi masalah pekebun kecil, program yang dirancang perlu dilaksanakan dengan lebih meluas.  Antaranya dengan menentukan lebih jelas tanaman tanaman serta jenis yang boleh diusahakan oleh mereka dan dapat dipasarkan dalam bentuk segar atau diproses.

"Jaminan pasaran adalah perlu untuk meyakinkan pengusaha dan dapat dibuat secara kontrak ladang," katanya.

 

PERSAINGAN PRODUK LUAR

Kemasukan hasil  tani dari luar negara iaitu sayur-sayuran dan buah-buahan  seperti dari Thailand memang memberi saingan  kepada keluaran petani tempatan kerana kosnya yang lebih rendah dan dapat dijual dengan harga lebih murah.

"Sebagai negara yang mengamalkan dasar ekonomi bebas, kemasukan produk luar negara tidak dapat dielakkan sepenuhnya. Bagaimananapun, kerajaan melalui pelbagai  jabatan dan agensi boleh mengambil tindakan bersepadu dengan mengetatkan prosedur kemasukan produk import," katanya.

Sebagai contoh, Kementerian Kesihatan Malaysia boleh mengambil sampel produk yang diimport masuk di sempadan  dengan lebih kerap bagi memastikan produk yang diimport mematuhi  Akta Makanan Malaysia seperti kandungan sisa baki racun .

Jika gagal mematuhi akta yang ditetapkan itu  produk tersebut boleh dihalang daripada memasuki negara dalam tempoh yang ditentukan.

Menurut Ishak, FAMA juga sedang menguatkuasakan pematuhan Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelebelan dengan lebih agresif.

“Pertanian mempunyai peranan yang istimewa dalam proses perindustrian di Malaysia sekiranya aspek pengeluaran diberikan penumpuan dan strategi yang sesuai dengan timbal balik prinsip ekonomi iaitu permintaan dan penawaran,

“Usaha memulihkan tanah terbiar bagi menambah keluaran pertanian dan mengurangkan import makanan bukanlah tanggung jawab pihak kerajaan semata-mata. Malahan, semua pihak perlu bahu-membahu memastikan tanah terbiar dapat dimajukan sebaik-baiknya, “ kata Ishak yang turut menegaskan sudah sampai masa satu reformasi tanah diwujudkan secara bersepadu.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan