FOKUS BERNAMA

Kongsi Kejayaan Bangunkan Tanah Terbiar

16/05/2019 03:43 PM

Oleh Kurniawati Kamarudin

Mengoptimumkan tanah terbiar agar tidak berlaku pembaziran sumber perlu diperluaskan dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan negara.

Bahagian akhir daripada empat bahagian isu tanah terbiar ini menjejak pengusaha tanah terbiar yang berjaya dalam bidang pertanian. 

 

TEMERLOH (Bernama) --  Mengusahakan tanah terbiar dengan aktiviti pertanian mempunyai cabarannya yang tersendiri. Selain faktor lokasi yang biasanya jauh daripada jalan utama, keadaan tanah dan ketiadaan sumber air menjadi  punca tanah terbiar sukar untuk dibangunkan.

Penulis melihat sendiri usaha dan cabaran yang dilalui dua orang penduduk Kampung Paya Jejawi (Temerloh) yang mengusahakan pelbagai tanaman atas tanah terbiar milik mereka. 

Bantuan daripada Jabatan Pertanian Malaysia melalui insentif Program Pembangunan Tanah Terbiar  benar-benar membantu meringankan beban yang ditanggung.

 

BELUKAR BERTUKAR MENJADI KEBUN

Lebih dua ribu pokok pisang dan kelapa yang sedang membesar di atas tanah seluas dua hektar mengubah keadaan tanah dan persekitaran.

Semak dan belukar yang dahulunya memenuhi kawasan kini bertukar menjadi kebun yang bersih, panorama menghijau sejauh mata memandang.

Pemiliknya, Shahrizal Salleh, 40 tahun mengusahakan tanah miliknya yang terbiar sejak sekian lama dengan menanam kelapa sebagai tanaman kekal dan pokok pisang bagi tanaman singkat.

Sebanyak 2,000 pokok pisang berangan dan 250 pokok kelapa kuning Malaya ditanam di kebunnya dengan bantuan anak benih daripada Jabatan Pertanian Temerloh.

Walaupun baharu setahun mengusahakan kebun kelapa dan pisang dibawah program tanah terbiar beliau sudah boleh menarik nafas lega apabila melihat sumber ekonomi yang langsung tidak dipedulikan sebelum ini  bakal mengeluarkan hasil tidak lama lagi.

Pokok pisangnya yang semakin subur dijangka akan mula mengeluarkan buah sekitar bulan September nanti manakala pokok kelapa pula dijangka mula berputik dan berbuah dalam masa tiga atau empat tahun lagi.

“Saya pun tidak sangka daripada proses permohonan hingga kelulusan Jabatan Pertanian hanya mengambil masa lima bulan sahaja dan kerja pembersihan kawasan terus dijalankan” , katanya kepada Bernama yang ditemui di kebunnya baru-baru ini.

 

INSENTIF JABATAN PERTANIAN

Selain bantuan membersihkan kawasan beliau juga mendapat bantuan anak benih dan baja.

Insentif permulaan yang diberikan Jabatan Pertanian untuk mengusahakan tanah terbiar dalam bentuk  pembangunan infrastruktur seperti pembersihan kawasan dan penyediaan sistem pengairan atau pemberian input pertanian seperti anak benih, baja atau bantuan teknologi dengan nilai RM20,000 sehektar.

Shahrizal yang bekerja  di sebuah syarikat swasta di Temerloh tidak mempunyai masalah untuk memberi komitmen pada kebunnya yang terletak tidak jauh dari pejabatnya.

 Sebelum masuk dan pulang dari kerja beliau akan singgah ke kebun untuk melihat dan memantau pokok-pokok yang ditanam terutama pada waktu sekarang di mana pokok sedang membesar.

“Walaupun berpagar risau juga dengan musuh seperti babi hutan kerana kebun saya dikelilingi belukar. Setakat ini semuanya berjalan lancar. Sistem pengairan di sini juga tidak ada masalah jadi mudah untuk menyiram pokok dan untuk kegunaan lain,” katanya.

Jabatan Pertanian yang selalu meninjau dan memberi khidmat nasihat membuatkan beliau menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan projek tanaman berkenaan.

Menurut bapa kepada lima anak ini,  beliau mempunyai keyakinan yang tinggi untuk mengusahakan tanah terbiar selepas berjaya menanam lebih kurang 5,000 pokok pisang nangka di atas tanah milik keluarganya dua tahun lepas.

“Pengalaman itu membuatkan saya rasa yakin dan ingin teruskan dengan menanam pokok kelapa dan pisang. Hasil yang diperolehi daripada tanaman pisang nangka sebelum ini juga agak lumayan lebih kurang RM20,000 untuk sekali pusingan.

“Jika diusahakan mengikut cara yang betul tidak mustahil apa yang saya usahakan sekarang akan berjaya juga,” katanya pegawai Jabatan Pertanian Temerloh datang  ke kebun memantau dua kali sebulan.

Beliau tidak menafikan ramai dalam kalangan rakan-rakannya yang berminat untuk mengusahakan tanaman makanan tetapi tidak berkeyakinan untuk memulakannya.

 

PERLU MODAL

Kekurangan modal juga menjadi salah satu halangan untuk mereka menceburi bidang pertanian ini, katanya.

“Walaupun ada bantuan Jabatan Pertanian, modal sendiri masih diperlukan. Macam kebun yang saya usahakan ini saya terpaksa keluarkan modal sendiri lebih kurang RM6,000 untuk membina pagar kebun dan  bayar gaji pekerja  selain membuat kolam bagi sumber air di kebun ini,” katanya.

Memilih kelapa sebagai tanaman jangka panjang, Shahrizal yakin pasaran buah kelapa sentiasa ada kerana permintaan yang tinggi sepanjang masa terutama pada musim perayaan.

Bukan sahaja isi kelapa, air, sabut dan tempurung juga mempunyai harga dipasaran.

Seperti pisang nangka yang pernah diusahakan sebelum ini,  beliau memasarkan sendiri hasil pisang tersebut kepada peraih kecil-kecilan di sekitar Temerloh.

“Saya hanya pasarkan di Temerloh sahaja… itupun tidak mencukupi dan sentiasa ada permintaan. Saya yakin sama ada pisang atau kelapa juga ada pasarannya nanti,” kataya.

Menurut Shahrizal, sementara menanti pokok kelapa mengeluarkan hasil, beliau akan terus menanam pokok pisang yang mungkin boleh mencapai hingga tiga kali pusingan.

 

PILIH JAMBU

Sementara itu, seorang lagi pengusaha tanah terbiar, Abidin Darus, 59 tahun memilih jambu batu sebagai tanaman kekal di atas tanah seluas 1.2 hektar.

Sebanyak 250 batang pokok jambu ditanam sejak 2017 dengan bantuan awal Jabatan Pertanian.

Kebun miliknya itu terbiar selama tiga tahun selepas berlaku banjir besar di kawasan pandai timur sekitar 2014.

"Sebelum tanah ini terbiar, saya pernah mengusahakan dengan menanam kelapa. Ketika banjir besar berlaku, semua pokok-pokok kelapa habis musnah dan disebabkan tidak cukup modal kebun ini tidak diusahakan.

“Selepas itu saya buat kerja-kerja sendiri sampai pada tahun 2017 saya mulakan semula dengan menanam pokok jambu batu," katanya.

Sebelum memulakan penanaman di sini, beliau mencuba menanam di kawasan rumahnya sebanyak 100 batang pokok pada tahun 2016.

Percubaan itu berjaya dan mengeluarkan hasil selepas dua tahun.

 

GANGGUAN MUSUH

Abidin mendapat bantuan Jabatan Pertanian pada peringkat awal membangunkan tanah terbiar dalam bentuk bantuan membersihkan kawasan, anak benih, baja dan pam air.

Selain itu, khidmat nasihat juga turut diberikan bagi menambah baik pokok-pokok yang ditanam.

"Pokok jambu batu mudah ditanam, mudah dijaga  dan hasilnyapun cepat. Setakat ini sudah tiga kali buah jambu yang saya tanam mengeluarkan hasil.

"Cuma halangan saya adalah musuh seperti monyet yang mengganggu buah jambu batu untuk membesar," katanya.

Bagi mengatasi masalah tersebut, beliau menggunakan kreativitinya sendiri dengan membina kincir angin untuk menghalau monyet yang sering datang terutama pada waktu pagi. 

Masalah gangguan hairan itu menyebabkan hasil tanamannya tidak dapat dioptimumkan dan menyebabkan beliau tidak mampu untuk memasarkan ke tempat lain.

"Setelah dicukai oleh monyet, seminggu  boleh keluarkan lebih kurang 30 kilogram.  Sebab itu saya tidak jual kepada peraih dan hanya menjualnya sendiri dengan membuka gerai berdekatan rumah.

"Memang ada peraih yang datang untuk mendapatkan bekalan tetapi dalam keadaan sekarang saya belum mampu lagi mengeluarkan dalam jumlah yang banyak," katanya yang memberi komitmen sepenuhnya pada kebun yang diusahakan.

Beliau yang sebelum ini menjalankan perniagaan sendiri menghabiskan masa sekurang-kurangnya empat jam sehari di kebun.

Tidak hairanlah, kebunnya sentiasa bersih, kemas dan tersusun cantik. “Kebersihan sangat penting untuk memastikan tanaman mendapat nutrien yang secukupnya agar pokok dapat hidup subur dan menghasilkan buah yang berkualiti, “ kata Abidin.

 

RUANGAN SISI

Dianggarkan terdapat 110,000 hektar tanah terbiar di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurut risalah Jabatan Pertanian Malaysia, tanah terbiar ditakrifkan sebagai tanah darat atau tanah sawah yang berkeluasan minimum 0.4 hektar ke atas sama ada bersambungan atau bertaburan yang merupakan tanah milik yang tidak diusahakan selama tiga tahun berturut-turut.

Bagi meningkatkan keupayaan sektor pertanian, Jabatan itu mengambil inisiatif melalui Projek Pembangunan Tanah Terbiar untuk meningkatkan pendapatan petani  dan kapasiti pengeluaran bahan makanan negara.

Mekanisma pelaksanaan dengan mengenalpaasti pemilik tanah terbiar melalui kerjasama pejabat tanah dan daerah bagi melaksanakan projek tanaman makanan oleh pemilik tanah atau usahawan tani.

Jenis tanaman yang boleh diusahakan seperti tanaman singkat masa iaitu sayur-sayuran, buah-buahan dan komoditi yang cepat mengeluarkan hasil dan mempunyai pasaran.

Dalam hal ini, Jabatan Pertanian berperanan sebagai pemudah cara dan tempat rujukan maklumat tanah terbiar serta memberi khidmat nasihat teknikal  seperti kesesuaian tanaman mengikut jenis tanah.

Pemasaran hasil pertanian pula dilakukan melalui jualan terus dan ladang kontrak.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Jabatan Pertanian Negeri atau Jabatan Pertanian Malaysia di Putrajaya di talian 03- 8870 3000 atau melayari laman sesawang  jabatan www.doa.gov.my

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA  

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan