EKONOMI

CEO InvestKL lepaskan jawatan 10 Julai ini

13/06/2019 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) InvestKL Datuk Zainal Amanshah akan melepaskan jawatan sebaik kontraknya tamat pada 10 Julai ini.

Pengerusi InvestKL Datuk Seri Michael Yam dalam kenyataan hari ini berkata lembaga pengarah telah melantik Muhammad Azmi Zulkifli sebagai pemangku CEO berkuatkuasa 1 Julai, 2019.

“Saya yakin Muhammad Azmi akan terus memperjuangkan Greater KL sebagai destinasi pilihan bagi syarikat multinasional (MNC) untuk mewujudkan pusat perniagaan dan inovasi serantau mereka. Saya berhasrat untuk bekerjasama dengannya untuk membawa InvestKL ke tahap seterusnya,” kata beliau.

Muhammad Azmi sudah bersama agensi itu sejak 2012 dan ketika ini merupakan Pengarah Hubungan Pelaburan InvestKL bagi rantau Eropah.

Beliau mempunyai pengalaman selama 16 tahun dengan memegang pelbagai jawatan kepimpinan dan pengurusan termasuk komersial, transformasi perniagaan dan operasi perniagaan bersama MISC Bhd sebelum berkhidmat dengan InvestKL.

Zainal dilantik sebagai CEO agensi itu yang pertama pada 2011 dan telah menjalankan khidmat penuh selama lapan tahun.

Beliau akan meninggalkan InvestKL untuk meneruskan kerjaya di sektor swasta.

Semasa beliau berkhidmat, InvestKL telah berjaya menarik 80 MNC setakat 31 Mei tahun ini yang merekodkan pelaburan diluluskan dan komited RM12 bilion dan pelaburan terhadap Greater KL.

Pelaburan ini mewujudkan lebih 12,000 peluang pekerjaan serantau berkemahiran tinggi serantau bagi rakyat Malaysia.

InvestKL ialah agensi promosi pelaburan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), yang ditugaskan kerajaan untuk menarik MNC global mewujudkan ibu pejabat perkhidmatan perniagaan serantau di Greater Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan