AM

Cadangan seragam undang-undang kesalahan jenayah syariah akan dipersembah kepada Raja-raja -- Mujahid

18/06/2019 12:04 AM

KANGAR, 17 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan menghadap Majlis Raja-raja tidak lama lagi berhubung cadangan untuk menyeragamkan undang-undang kesalahan jenayah syariah antara negeri-negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Pada masa ini, undang-undang berkenaan berbeza antara satu negeri dengan negeri lain.

Raja-raja adalah ketua agama di negeri masing-masing.

Sehubungan itu, Mujahid berkata kerajaan juga akan mengadakan pertemuan dengan semua menteri besar dan ketua menteri untuk penjelasan mengenai cadangan itu yang disasar dilaksanakan pada 2020.

“Kita dah maklum kepada Majlis Raja-Raja mengenai rancangan ini yang antaranya bertujuan memperkasa undang-undang syariah,” kata beliau pada majlis ramah mesra dengan ketua-ketua jabatan, tokoh-tokoh masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan di Perlis sempena sambutan Aidilfitri di sini, hari ini.

Menurut Dr Mujahid usaha itu sebahagian komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk memartabatkan Islam berdasarkan Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan.   

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga akan menubuhkan mahkamah khas bagi mengendalikan kes-kes ibu tunggal yang menuntut hak dalam hal nafkah, harta dan lain-lain.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan