Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 36m ago ]

Angka korban gempa bumi di barat daya China meningkat kepada 11 orang

Tarikh kemaskini: 18/06/2019
CHENGDU, 18 Jun (Bernama) -- Sebelas orang maut manakala 122 lagi cedera selepas gempa bumi bermagnitud 6.0 melanda Wilayah Sichuan yang terletak di barat daya China pada Isnin malam, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan kerajaan bandar Yibin pada Selasa.

Gempa bumi itu melanda Changning County di Yibin pada pukul 10.55 malam Isnin (waktu Beijing), menurut pihak berkuasa tempatan.

Pusat gempa, dengan kedalaman 16 kilometer, telah dipantau di 28.34 darjah utara dan 104.90 darjah timur, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC).

Usaha-usaha menyelamat sedang dilakukan. Kementerian Pengurusan Kecemasan telah mengaktifkan satu respons kecemasan dan menghantar satu pasukan kerja ke kawasan terjejas teruk untuk memberikan bimbingan dalam bantuan menyelamat dan bencana.

Kementerian itu dan Pentadbiran Rizab Strategik dan Makanan Negara telah menghantar sejumlah 5,000 khemah, 10,000 tilam lipat dan 20,000 selimutke kawasan yang dilanda gempa bumi.

Pasukan penyelamat yang dihantar oleh Persatuan Palang Merah Wilayah Sichuan tiba di perbandaran Changning, Shuanghe pada kira-kira pukul 4 pagi Selasa.

Setakat pukul 1 pagi Selasa, gempa bumi itu telah menyebabkan lebuh raya utama yang menghubungkan Yibin dan Xuyong County di Luzhou City terpaksa ditutup. Beberapa bahagian jalan lain juga telah disekat atau ditutup.

Satu gempa bumi bermagnitud 5.3 telah menggegarkan Changning County pada pukul 7.34 pagi Selasa, menurut CENC.

Pusat gempa dipantau di 28.37 darjah utara dan 104.89 darjah timur, menurut CENC dalam satu laporan awal.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu