KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Terpedaya dengan pakej pelancongan mewah dan layanan istimewa selama empat hari ke Kemboja termasuk diiring seseorang kononnya bergelar 'Jeneral' dari negara itu, seorang usahawan wanita hilang lebih RM44,000 akibat terjebak dalam sindiket pelaburan skim cepat kaya.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Zana, 51, merupakan antara puluhan mangsa yang terpedaya dengan skim pelaburan itu, berkata beliau mengetahui mengenai pelaburan berkenaan melalui seorang ejen yang diperkenalkan oleh kenalan rakannya.
“Taktik yang digunakan mereka sangat licik kerana tidak menggunakan sebarang platform media sosial, sebaliknya melalui rangkaian kenalan iaitu kawan atas kawan.
“Ini termasuklah taktik dibawa bercuti ke Kemboja oleh pihak pelabur kononnya bagi melihat sendiri projek hartanah termasuk pelaburan berkaitan emas dan pegangan ekuiti dan modal syarikat swasta yang dibangunkan di sana selain diberi telefon berjenama,” katanya pada sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.
Kata Zana, lawatan mereka di negara itu didakwa turut diiringi individu kononnya berpangkat ‘Jeneral’ malah kenderaan yang dinaiki diiringi oleh pasukan polis lengkap bersiren.
“Sudah tentu sesiapa pun pasti terpikat dengan layanan sebegitu sehingga membuatkan kami begitu yakin dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan pelaburan lumayan," katanya.
Mengulas lanjut, Zana menjelaskan nilai pelaburan minimum yang ditetapkan adalah RM4,500 atau satu bintang (star) sehingga 10 bintang dengan pulangan pelaburan 10 peratus akan diterima pada setiap bulan.
"Bagaimanapun, kami gagal mendapatkan wang pulangan selepas tiga bulan menjadi 'ahli'. Individu yang bertanggungjawab juga gagal dihubungi," katanya, yang melabur RM44,000.
Sementara itu, Presiden PPIM Datuk Nadzim Johan berkata sindiket pelaburan yang didakwa didalangi oleh seorang 'Datuk' itu sehingga kini telah mengakibatkan kerugian RM1.5 juta melibatkan 60 mangsa, kebanyakannya dari Sabah dan Sarawak.
"Sindiket yang sudah bertapak sejak 2016 menyasarkan golongan bekerja berusia antara 35 dan 60 tahun. Kami bimbang dengan sindiket pelaburan yang masih berleluasa sehingga hari ini malah masih aktif mengiklankan skim tersebut, menyebabkan lebih ramai mangsa baharu ditipu," jelasnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial