KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Sebanyak 284 pertemuan perniagaan yang diaturkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada Pertunjukan Udara Paris Antarabangsa (IPAS) 2019 di Perancis baru-baru ini, menjana nilai eksport berpotensi lebih RM700 juta.
Diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking, 12 syarikat Malaysia termasuk Composites Technology Research Malaysia, UMW Aerospace, Jecmetal Industries, Sapura Aerospace Technologies dan Curge Advance, menyertai acara itu.
MATRADE, dalam kenyataan hari ini, berkata produk dan perkhidmatan yang paling mendapat perhatian adalah bahan komposit, alat ganti dan komponen, perkhidmatan rekaan kejuruteraan, penyelenggaraan, membaiki dan baik pulih, serta aplikasi satelit.
IPAS adalah sebahagian daripada strategi MATRADE untuk menerokai peluang kerjasama untuk syarikat Malaysia dengan pembekal Peringkat 1 dan Peringkat 2 terbaik dunia, serta pembuatan peralatan tulen (OEM), dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan aeroangkasa.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata sektor aeroangkasa telah diiktiraf sebagai industi yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan taraf kehidupan rakyat, menerusi pewujudan kerja, kemajuan teknologi dan piawaian berkualiti tinggi.
'’Syarikat Peringkat 1 dan Peringkat 2 yang kami temui pada Pertunjukan Udara Paris mengakui bahawa Malaysia kini berada di landasan betul dalam membangunkan industri itu.
“Syarikat-syarikat Malaysia telah mempamerkan keupayaan mereka dalam memenuhi permintaan OEM yang ketat dan ini merupakan pemangkin untuk mereka berjaya menjadi sebahagian rantaian bekalan global,” katanya.
Pada 2018, eksport alat ganti dan komponen aeroangkasa Malaysia mencatatkan peningkatan 20.7 peratus kepada RM8.48 bilion dengan destinasi utama adalah Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Perancis, China dan Singapura.
Import meningkat 26.2 peratus kepada RM15.91 bilion daripada Perancis, AS, Belanda, China dan Singapura.
Pada masa depan, MATRADE berkata ia merancang untuk menerajui penyertaan syarikat Malaysia dalam dua acara aeroangkasa ikonik, iaitu Pertunjukan Udara Singapura (11-16, Feb 2020) dan Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough (20-26 Julai, 2020).
“Usaha itu akan membantu merealisasikan visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa bagi Asia-Pasifik dan meletakkan industri aeroangkasa negara setara dengan Mexico dan Mahgribi. Kedua-dua negara berkenaan telah berjaya menjadi hab aeroangkasa, masing-masing bagi Amerika dan Eropah,
“Menerusi promosi eksport dan pelaburan bersepadu, ekosistem tempatan kita akan terus berkembang maju dan meningkatkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana Malaysia,” kata Wan Latiff.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial