FOKUS BERNAMA

Genius Aulad Peneraju Industri Pendidikan Awal Kanak-Kanak

03/07/2019 12:32 PM

Oleh Nor Amirah Mahmuddin

PETALING JAYA (Bernama) -- Ketika Genius Aulad dibuka pada 2000, prasekolah itu hanya mempunyai 20 murid memandangkan prasekolah yang menggabungkan pendidikan agama Islam dan Bahasa Inggeris bukanlah sesuatu yang lazim di Malaysia.

Kini, selepas 20 tahun penubuhannya, Genius Aulad mempunyai 178 tenaga pengajar yang mendidik lebih 75,000 kanak-kanak menerusi 70 cawangannya di seluruh Malaysia dan sebuah di Indonesia.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Genius Aulad International Group Sdn Bhd (Genius Aulad) Zaliza Alias berkata idea membuka prasekolah itu timbul semasa beliau berdepan masalah mencari prasekolah yang menawarkan pendidikan agama Islam dan Bahasa Inggeris untuk anaknya.

Bagi menyangkal persepsi sekolah aliran agama Islam tidak mementingkan Bahasa Inggeris, beliau memutuskan untuk membuka prasekolah yang menawarkan dua subjek utama itu.

Genius Aulad memberi penekanan kepada pengisian program, penyediaan ruang belajar yang kondusif dan mementingkan keselamatan mengikut prosedur operasi standard.

“Dua puluh tahun lalu, industri pendidikan awal kanak-kanak tidaklah rancak...ketika itu, Genius Aulad adalah peneraju bagi prasekolah aliran agama Islam yang mementingkan Bahasa Inggeris,” katanya.

Zaliza berkata prasekolah itu menggunakan Bahasa Inggeris sebagai pengantar utama untuk membantu kanak-kanak menguasai bahasa itu selain memberi penekanan kepada ilmu agama Islam serta subjek sains bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan arus perdana. 

 

PENTINGKAN IQ DAN EQ

Genius Aulad juga mementingkan perkembangan kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ). 

Berikutan itu, ia memperkenalkan pelan pembelajaran iLOVE (Islamic, Literacy, Original Arts, Value and Excitement) yang menumpukan kepada pembinaan karakter, sifat kasih sayang dan kemahiran asas bagi mengembangkan potensi setiap kanak-kanak.

Zaliza berkata sistem pembelajaran Genius Aulad direka bentuk mengikut tahap perkembangan kanak-kanak.

Program ‘Playschool’, yang dikhususkan untuk kanak-kanak berusia 2 dan 3 tahun, menekankan Pelan Pelajaran iLOVE bagi membiasakan mereka dengan persekitaran sekolah dan pembelajaran berstruktur.

Bagi program ‘Preschool’, ia mengikut Standard Kurikulum Prasekolah sebagai persediaan kanak–kanak sebelum beralih ke pendidikan formal di sekolah rendah.

“‘Beyond School’ pula menggabungkan elemen pembelajaran dan penerokaan dengan persekitaran yang lebih santai dan ibu bapa boleh menempatkan kanak-kanak secara sepenuh masa di Genius Aulad,” katanya ketika ditemui di di pejabatnya di Sekolah Tinta di sini, baru-baru ini.

 

BELAJAR, BERMAIN

Zaliza mengakui kemampuan untuk mengenal huruf dan membaca memainkan peranan besar dalam perkembangan kanak-kanak.

Dalam usaha meningkatkan kemahiran celik huruf, katanya, Genius Aulad mencontohi teknik bercerita ilmuan Islam Luqman al Hakim.

“Bagi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), Genius Aulad membudayakan teknik ‘bermain dan belajar’ dengan pelbagai aktiviti seperti menyanyi, membaca dan bermain yang sesuai dengan keperluan setiap pelajar.

“Fitrah kanak-kanak sukakan aktiviti menyeronokkan dan cara pembelajaran seperti itu akan membantu mereka lebih berminat untuk belajar,” katanya.

Menurutnya teknik bercerita membolehkan interaksi dua hala berlaku dan membantu pelajar untuk berfikir serta merangsang imiginasi mereka sekali gus meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Beliau berkata sesi membaca secara bersemuka dengan guru dilakukan setiap hari dan sehingga kini, ibu bapa berpuas hati dengan perkembangan kemahiran membaca anak-anak mereka hasil usaha tenaga pengajar Genius Aulad.

 

CABARAN PERSEPSI

Pada masa sama, Zaliza turut berdepan cabaran berikutan adanya ibu bapa yang meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap anak-anak mereka.

Selain itu, sebagai prasekolah yang berkonsep pembelajaran ‘bermain dan belajar’, Genius Aulad juga perlu menangani persepsi bahawa pendidikan hanya berlaku dengan cara ‘pelajar memegang buku dan pensil’ dan bukannya melalui aktiviti yang menyeronokkan.

“Ibu bapa perlu melihat kemajuan dan pencapaian anak-anak dengan lebih realistik seperti perubahan tingkah laku yang positif serta perasaan suka untuk ke sekolah...bukannya meletakkan 100 peratus kepada markah peperiksaan kerana mereka masih di alam prasekolah,” jelasnya.

Untuk itu, katanya, Genius Aulad sering melibatkan ibu bapa dalam Aktiviti Pelajar dan Ibu Bapa (SPA) serta ‘Crayon Loves Ibu’ bagi memberi peluang kepada mereka untuk melihat sendiri hasil pembelajaran serta memahami kemampuan anak masing-masing.

 

DIIKTIRAF RAMAI

Sejak beberapa tahun lalu, Genius Aulad menerima pelbagai anugerah Prasekolah Terbaik di peringkat kebangsaan.

Selain itu, ia turut berusaha mencari peluang untuk menembusi pasaran antarabangsa berikutan meningkatnya permintaan bagi pendidikan Islam di negara-negara ASEAN.

Zaliza berkata Genius Aulad juga dilantik menjadi Perunding Pendidikan untuk pelbagai program dan animasi televisyen kanak-anak seperti ‘Omar & Hana’.

Walaupun Genius Aulad menerima pelbagai pengiktirafan, beliau belum berpuas hati.

“Saya mahu terus membangunkan industri prasekolah Islam dan mewujudkan ekosistem pembelajaran yang menyeronokkan di negara ini,” katanya.

 

Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin 

BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan