AM

429 papan iklan haram dikesan di Nilai - Exco

05/07/2019 05:23 PM

SEREMBAN, 5 Julai (Bernama) --  Sebanyak 429 papan iklan haram dikesan dibina dan dipasang di sepanjang jajaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) oleh Majlis Perbandaran Nilai (MPN), kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan Teo Kok Seong.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan telah dibuat mulai 1 April lepas secara berperingkat  dan  sebanyak 456 notis notis kompaun kesalahan telah pun dikeluarkan kepada pemilik papan iklan dengan nilai kompaun sebanyak RM171,750.

Kesalahan itu membabitkan mempamer iklan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 6 (1), Undang-Undang Kecil Iklan, MPN dengan nilai kompaun sebanyak RM250 dan mendirikan binaan tanpa kebenaran majlis di bawah Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 dengan nilai kompaun adalah RM500.

“MPN berhak mengenakan kompoun terhadap individu atau syarikat yang melanggar undang-undang UUK 6 (1), Undang-Undang Kecil Iklan, MPN dan Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 setiap hari sehingga mereka patuhi undang-undang tersebut.

Selain itu majlis juga telah mengeluarkan 235 notis roboh di bawah Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Teo berkata MPN telah merobohkan sebanyak sembilan unit papan iklan di Lebuhraya PLUS pada Mac lepas dan akan merobohkan lagi sebanyak 13 unit papan iklan dalam masa terdekat.

"Kita sudah memberi kelonggaran terhadap mereka (pemilik papan iklan) namun sambutan masih kurang memuaskan. Sekiranya tiada pihak yang tampil, kita tetap meneruskan operasi perobohan itu

Kita akan merobohkan ke semua billboard (papan iklan) tanpa kelulusan ini secara berperingkat. MPN akan menjalankan operasi bersepadu kerja-kerja meroboh papan iklan di Lebuhraya PLUS (arah utara) dalam kawasan MPN pada Rabu dan Khamis ini,” katanya.

Pemilik papan pengiklanan katanya diminta mengemukakan permohonan dan mendapatkan  kelulusan  bagi binaan paparan iklan di Unit Pusat Sehenti (OSC) MPN sebelum melakukan permohonan lesen iklan.

“Pemilik-pemilik tanah juga diingatkan agar berhati-hati untuk menyewakan tanah mereka kepada syarikat pengiklan agar tidak melanggar syarat nyata tanah,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai pilihan raya ketua kampung yang akan dilaksanakan kerajaan Ahad ini, Teo berkata ia merupakan projek perintis bagi mengkaji keberkesanannya dalam memilih ketua kampung.

Katanya, pilihan raya berkenaan akan diuruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang pilih yang akan bertanggungjawab memastikan perlaksanaan pemilihan tersebut berjalan lancar.

"Kerajaan Pakatan Harapan sudah lama berhasrat untuk melakukan pilihan raya ketua kampung dan kebetulan ketua Kampung Baru Paroi baru sahaja meninggal dunia dan disebabkan itu kita mengambil kesempatan untuk membuat eksperimen melaksanakan pilihan raya ketua kampung.

"Ini hanya projek kajian sahaja kerana kita mahu lihat sejauh mana keberkesanan perlaksanaan ini yang mana ia melibatkan semua penduduk untuk keluar mengundi memilih calon ketua kampung mereka secara demokrasi," katanya.

Katanya mereka yang dipilih dalam pilihan raya itu nanti akan dibentangkan dalam Mesyuarat Exco untuk disahkan dan mereka bertanggungjawab untuk membentuk ahli jawatankuasa kampung.

Pemilihan akan berlangsung bermula pada pukul 9 pagi hingga 3 petang dan setakat ini dua calon telah menyatakan minat mengambil bahagian, katanya.

“Mereka ini bertanding bukan atas tiket parti tetapi menggunakan nombor dan nama calon sahaja. Ia tidak melibatkan parti politik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan