AM

Tarian 'Nambuyunan' menang pertandingan tarian piala dunia di Portugal

07/07/2019 09:03 PM

KOTA KINABALU, 7 Julai (Bernama) -- Tarian bertajuk ‘Nambuyunan’ yang dipersembahkan oleh pelajar Ahmad Mikhail Damsal,10; Muhammad Fakhrul Afif dan Oscar Neil masing-masing berusia 12 tahun meraih pingat emas dalam pertandingan tarian, Dance World Cup 2019 bagi kategori duet/trio national & folklore di Braga, Portugal.

Persembahan bertemakan suku kaum etnik Sabah itu memberi tuah kepada gandingan empat pelajar Sekolah Kebangsaan Stella Maris apabila berjaya memikat hati juri dalam pertandingan yang berlangsung pada 29 Jun hingga 6 Julai lepas.

Menurut Jurutari Abi Asyraf Afi Aji Lee, 29, berkata ‘Nambuyunan’ iaitu bahasa suku kaum Murut bermakna ‘ukiran gila’ dipersembahkan melalui tarian yang hanya dipersembahkan menggunakan bulu burung bersama rentak tarian, yang menceritakan makna di sebalik nama ‘Nambuyunan’.

"Sebanyak tiga jenis tarian yang dipersembahkan dalam pertandingan tersebut iaitu tarian Murut, Sumazau yang dikreatifkan dan tarian Brunei. Dalam satu kategori dua penyertaan," katanya ketika ditemui di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Selain itu, Abi Asyraf Afi berkata tarian berjudul ‘Awang Alak Betatar’ yang dipersembahkan Muhammad Fakhrul juga memenangi pingat emas bagi kategori kanak-kanak solo national & folklore serta memenangi ‘most outstanding boy award’.

Tarian tradisi bertajuk ‘Kinomulok’ yang ditarikan oleh pelajar perempuan, Santiani Benjamin, 12, meraih tempat keempat bagi kategori kanak-kanak solo national & folklore.

Sementara itu, Muhammad Fakhrul berkata meskipun bersaing dengan peserta daripada 61 negara, namun mereka tetap fokus dan patuh kepada arahan jurulatih.

Katanya pada tahun lalu, dalam pertandingan itu bagi kategori solo dia hanya memenangi tempat ke-11 namun tahun ini berjaya merangkul pingat emas.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan