WASHINGTON, 11 Julai (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) pada Rabu melahirkan kebimbangan kepada utusan Yaman ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung peningkatan serangan Houthi ke atas Arab Saudi baru-baru ini, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan Jabatan Negara.
Setiausaha Negara Mike Pompeo mengucapkan terima kasih kepada Martin Griffiths atas usahanya bagi menghentikan konflik Yaman namun "melahirkan kebimbangan berhubung peningkata serangan Houthi ke atas wilayah Arab Saudi sejak kebelakangan ini yang memburukkan lagi konflik itu serta menyebabkan rasa lebih tidak percaya," menurut Jabatan Negara.
"Setiausaha dan Utusan Khas itu bersetuju bahawa semua pihak perlu terus berusaha ke arah satu penyelesaian politik dan menghentikan konflik di Yaman," kata jurucakap Morgan Ortagus dalam satu kenyataan.
Pemberontak Houthi menggunakan dron untuk menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Abha di yang terletak di selatan Arab Saudi, menurut stesen penyiar Al-Masirah TV milik kumpulan itu pada Isnin.
Puak Houthi telah meningkatkan penggunaan dron untuk menyasarkan bahagian selatan Arab Saudi termasuk Abha.
Dua serangan dron sebelum ini telah terkena lapangan terbang bandar itu, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut manakala lebih 30 lagi cedera.
Yaman terjerumus dalam kancah keganasan dan kekacauan sejak 2014 apabila pemberontak Houthi menguasai kebanyakan kawasan di negara itu, termasuk ibu kota Sanaa.
Krisis itu memuncak pada 2015 apabila tentera gabungan yang diketuai Arab Saudi melancarkan kempen serangan udara yang bertujuan memaksa puak Houthi berundur dari wilayah dikuasai mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial