UM perjelas punca halang graduan perakaunan sertai konvokesyen [ 8h ago ]

Kusyen motosikal ikut keselesaan penunggang

Tarikh kemaskini: 12/07/2019
SHAH ALAM, 12 Julai (Bernama) -- "Bukan lembut atau keras yang menjadi penentu kepada keselesaan tetapi reka bentuk tempat duduk sesebuah motosikal itu," kata pereka kusyen motosikal Haruzzaidi Halim.

Haruzzaidi, 41, berkata ramai pelanggan yang menemuinya mempunyai pemahaman salah terhadap keselesaan tempat duduk motosikal mereka.

"Ada pelanggan yang datang dengan membawa reka bentuk kusyen mereka sendiri tetapi sebenarnya untuk mendapatkan keselesaan tempat duduk itu ialah dengan mengubah suai tempat duduk sedia ada dan kemudian barulah mendapatkan reka bentuk yang dikehendaki," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau yang menjalankan perniagaan itu sejak 2001, berkata kira-kira 300 kusyen motosikal diubahsuainya sebulan dengan dibantu oleh dua pekerja di kedainya BCK Cusion, Taman Subang Mas di sini.

Bagi membentuk semula tempat duduk sesebuah motosikal itu, beliau perlu mengetahui ketinggian pelanggan, menunggang sendirian atau bersama pembonceng dan kekerapan menaiki motosikal.

Selepas mendapat maklumat daripada pelanggan barulah beliau memulakan proses mengubah suai tempat duduk motosikal tersebut.

Beliau berkata proses pengubahsuaian itu bermula dengan membuka sarung tempat duduk asal dan kemudian memotong tempat duduk itu atau menambah ‘foam’, diikuti proses membentuk tempat duduk agar bersesuaian dengan badan pelanggan.

"Bila proses membentuk kusyen itu selesai, pelanggan akan diminta menguji tempat duduk itu dengan menunggang motosikal tersebut, jika pelanggan tidak berpuas hati, pengubahsuaian akan dilakukan sehingga mereka berpuas hati," katanya.

Haruzzaidi berkata sarung kusyen pula dibuat berdasarkan kepada bahan yang diminati pelanggan.

Berikutan permintaan yang semakin meningkat, beliau merancang untuk mengeluarkan kusyen motosikal mengikut keselesaan pelanggan pada skala yang lebih besar.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu