JOHOR BAHRU, 12 Julai (Bernama) -- Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang dibuka di Pasir Gudang, susulan insiden sesak nafas dan muntah-muntah melibatkan beberapa sekolah dipercayai akibat pencemaran sejak 20 Jun lepas, ditutup operasinya pada 12 tengah hari semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata penutupan pusat kawalan di Tingkat 4, Menara Aqabah, itu dilakukan berikutan situasi yang bertambah baik di Pasir Gudang.
“Namun begitu, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) telah diarahkan oleh Pegawai Daerah Johor Bahru untuk menubuhkan Unit Bantuan Segera Kecemasan dan beroperasi serta-merta bagi menangani situasi jika didapati insiden berulang.
"Sehubungan itu, arahan telah dikeluarkan agar Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Kesejahteraan Pasir Gudang diaktifkan segera mulai minggu hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Mohd Khuzzan berkata sehingga pukul 4.00 petang tadi, tiada kes baharu dilaporkan berhubung insiden terbabit.
Beliau berkata secara keseluruhan, pemantauan kualiti udara yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak seminggu lepas mendapati keadaan bertambah baik dan bacaan udara adalah dalam keadaan normal.
Menurutnya melalui pemantauan berterusan pihak JAS sehingga hari ini, 255 premis industri telah diperiksa, dan ada yang dikenakan tindakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Sebanyak 125 kompaun dikeluarkan terhadap premis kerana kesalahan membabitkan buangan terjadual; 10 kompaun kerana kesalahan melibatkan efluen perindustrian, 59 notis arahan bagi mematuhi segala perundangan alam sekitar serta 11 perintah tahan operasi.
Turut dikeluarkan, satu kompaun melibatkan kesalahan kumbahan manakala tiga lagi merupakan arahan untuk disyorkan tindakan mahkamah," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial