Malaysia to boost local firms' participation in Kazakhstan - envoy [ 16m ago ]

Kerajaan laksana usaha menyeluruh bantu PKS ke arah teknologi automasi robotik

Tarikh kemaskini: 13/07/2019
KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan menjalankan usaha menyeluruh untuk membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada penggunaan teknologi automasi robotik, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata justeru itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang merangka pendekatan baharu bagi tujuan itu.

“Kita perlu melihat secara holistik sekiranya mahu PKS beralih kepada automasi robotik. Ini merupakan pelaburan yang besar dan mungkin mereka (PKS) tidak mampu.

“MITI sedang merangka pendekatan baharu bagi membantu industri PKS melakukan peralihan untuk memenuhi keperluan semasa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Kerjaya Graduan Aspire, di sini, hari ini.

Mengenai sasaran mewujudkan 250,000 usahawan sebagai langkah merealisasikan sejuta peluang pekerjaan di Malaysia dalam tempoh lima tahun, Mohamed Azmin berkata kerajaan akan menambah baik sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Untuk Malaysia maju sebagai negara industri, kita perlu siapkan tenaga kerja dengan kemahiran dan bakat baharu sejajar dengan perkembangan teknologi. Kita perlu melakukan anjakan paradigma agar graduan dapat penuhi permintaan industri,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan teknologi terkini memerlukan bakat baharu dalam kalangan generasi muda.

“Kita letak sasaran mahu melatih tenaga kerja muda dalam bidang teknologi bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing. Kita ada potensi tenaga kerja muda berbakat dan kita perlu beri peluang kepada mereka,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu