Entrepreneurship grants only for truly qualified - Mohd Redzuan [ 3m ago ]

Banjir, tanah runtuh di Nepal, angka korban meningkat 67 orang

Tarikh kemaskini: 15/07/2019
KATHMANDU, 15 Julai (Bernama) -- Angka korban akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat di Nepal meningkat 67 orang manakala 43 lagi cedera dan 30 yang lain hilang, lapor agensi berita Anadolu memetik seorang pegawai polis pada Isnin.

Hujan lebat sejak tiga hari lalu mencetuskan kejadian tanah runtuh dan banjir di wilayah tengah serta timur negara itu, kata jurucakap polis Ramesh Thapa.

Kebanyakan bandar dan pekan di seluruh bahagian selatan ditenggelami air banjir manakala tanah runtuh menyebabkan lebuh raya dan rumah ditimbus.

Thapa berkata, kampung Janak Nandini di daerah Dhanusa di selatan Nepal ditenggelami air banjir akibat limpahan Sungai Kamal.

"Kami kini menumpukan kepada usaha pemulihan, kami berdepan cabaran untuk mengumpulkan barang keperluan memandangkan hampir keseluruhan kawasan digenangi air," katanya.

Pihak berkuasa bersiap sedia untuk membuka pintu empangan hidroelektrik Kulekhani di tengah Nepal, memandangkan paras air telah mencecah paras berbahaya pada Isnin.

Penduduk di kawasan berhampiran empangan dan di hilir diarah berpindah ke kawasan lebih selamat.

Setiap tahun ratusan penduduk Nepal maut akibat banjir dan tanah runtuh semasa musim tengkujuh, antara Jun dan September.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu