EKONOMI

SERBA DINAMIK YAKIN CAPAI JUALAN BERNILAI RM2.5 BILION PADA 2024

17/07/2019 08:32 AM

Oleh Mohd Khairi Idham Amran

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan kejuruteraan, Serba Dinamik Holdings Bhd yakin perniagaan berkaitan teknologi maklumat (IT) yang dijalankannya akan mencapai jualan bernilai RM2.5 bilion pada 2024.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata pihaknya membuat jangkaan itu berasaskan pencapaian syarikat IT lain di peringkat global serta penggunaan produk dan perkhidmatan berkaitan IT secara tanpa sempadan.

“Anda boleh lihat bagaimana Facebook, Google, Instagram, Amazon dan Alibaba meletakkan kedudukan mereka. Terdapat pasaran yang amat luas di luar sana,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini, hari ini.

Beliau berkata Serba Dinamik melaksanakan banyak usaha sejak dua tahun lepas bagi membangunkan teknologi berkaitan IT, terutama penggunaan untuk keperluan masa depan industri ini.

“Pada 2019, kami mula menyediakan RM30 juta untuk perniagaan IT, dan ia hampir mencecah had itu, namun kami menyediakan RM30 juta lagi untuk meneruskan lagi kecanggihan teknologi serta kedudukan kami sebagai penyedia penyelesaian IT, di peringkat domestik dan dunia.

“Saya berpendapat kami telah mencapai tahap yang kami mahu untuk memasarkan kesemua produk dan perkhidmatan ini kepada pelanggan institusi dan sudah tentu kepada penduduk dunia yang berjumlah 7.5 bilion,” katanya.

Seiring dengan usaha giat dalam IT dan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), syarikat itu akan menganjurkan ‘Beyond Paradigm Summit 2019’ (Sidang Kemuncak Melangkaui Paradigma 2019) yang akan menampilkan robot manusia sosial, Sophia, kali pertama di Malaysia.

Acara yang dijadualkan pada 17 dan 18 Julai ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di sini itu akan mempamerkan teknologi canggih merangkumi idea teras pendigitalan dan pertukaran data berkaitan IR4.0.

Mohd Abdul Karim berkata sidang kemuncak berkenaan, dijangka menghimpunkan 1,000 peserta, akan menjadi platform bernilai untuk menghubungkan peserta industri selain dapat memanfaatkan kelebihan dan potensi pasaran antara satu sama lain dalam memacu agenda IR4.0 Malaysia.

Sidang kemuncak kedua akan diadakan di Kuching, Sarawak pada 20 dan 21 Julai, 2019 dan dijangka menghimpukan 500 peserta, katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan