EKONOMI

UMK anjur bengkel bina jenama bersama Kubi Springer

17/07/2019 03:15 PM

KOTA BHARU, 17 Julai (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus mengorak langkah memperkasakanperanannya sebagai sebuah universiti keusahawanan dengan mengadakan bengkel pembinaan jenama bersama perunding penjenamaan antarabangsa terkenal Kubi Stringer.

Kubi Stringer adalah perunding jenama yang banyak bekerjasama dengan jenama besar dunia termasuk Nike, L' Oreal, Justin Timberlake dan Aston Martin.

Beliau juga  pernah bekerjasama dengan beberapa syarikat di Malaysia termasuk Mimpikita, Sugar  Scarf dan Brahims pada 2013 hingga 2015 bagi memasarkan produk syarikat tersebut ke peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UMK  Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata bengkel sehari itu ialah  bagi memberi pendedahan kepada kakitangan UMK berhubung konsep penjenamaan dan pemasaran berkesan melalui perkongsian pengalaman Kubi Stringer yang telah 23 tahun berkecimpung dalam bidang itu.

"Bengkel interaktif ini adalah satu inisiatif untuk meningkatkan keterlihatan UMK sebagai sebuah universiti keusahawanan yang dikenali di negara ini seterusnya ke persada antarabangsa. Pada masa yang sama juga ia memberi manfaat kepada usahawan-usahawan tempatan yang ingin mendalami lebih banyak ilmu perniagaan," katanya kepada pemberita pada Bengkel Bina Jenama itu .

Bengkel itu  turut dihadiri Pengarah Kanan Institut Keusahawanan UMK Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad dan 40 peserta daripada pelbagai agensi dan syarikat perniagaan.

Prof Noor Azizi berkata antara topik utama yang dikongsikan dalam bengkel itu termasuk keutamaan penjenamaan dalam perniagaan, formula berkesan untuk mengembangkan perniagaan dan starategi menguasai pasaran produk wanita.

"Kita yakin banyak ilmu akan diperolehi sepanjang bengkel berlangsung termasuk dalam merungkai salah faham kita terhadap konsep dan kepentingan penjenamaan  dan UMK akan membuat lebih banyak lagi siri bengkel seumpama ini pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu Kubi Springer berkata kebanyakan usahawan tidak meletakkan aspek penjenamaan sebagai perkara pertama terpenting dalam perniagaan sebaliknya ramai yang memberi fokus kepada produk dan harga untuk bersaing dipasaran.

Katanya jenama sesuatu produk memberi implikasi yang paling berpengaruh dalam sesebuah perniagaan disamping apa yang dinikmati pelanggan terhadap produk yang ditawarkan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan