KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Kekalahan mengaibkan 10-0 Malaysia di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2015 perlu dijadikan pengajaran bagi skuad Harimau Malaya ketika menghadapi kempen pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bermula September ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kekalahan teruk pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu harus dijadikan sebagai satu peluang untuk bangkit semula memulihkan maruah skuad Harimau Malaya.
Justeru, beliau mencabar skuad kendalian Tan Cheng Hoe mengakhiri saingan Kumpulan G sekurang-kurangnya di tangga kedua bagi layak secara automatik ke Piala Asia 2023 di China.
Selain itu, Hamidin turut menuntut skuad negara supaya memanfaatkan peluang memburu mata penuh pada empat aksi pusingan kelayakan di laman sendiri dan sekurang-kurang satu mata di tempat lawan.
“Saya berpendapat kalau semua pihak memberi komitmen dan sokongan padu, peluang kita berada di tahap lebih baik pada saingan kali ini akan tercapai,” katanya pada sidang media selepas sesi santai media bersama Presiden FAM, di sini, hari ini.
Malaysia berdepan tugas sukar pada pusingan kedua kelayakan selepas diundi bertemu tiga negara ASEAN iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam, selain pasukan UAE dalam kumpulan G.
Hanya juara dan empat pasukan kedua terbaik daripada setiap lapan kumpulan layak secara automatik ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Berdasarkan jadual undian, Malaysia akan beraksi empat perlawanan di tempat sendiri iaitu bertemu UAE pada 10 Sept, Thailand (14 Nov), Indonesia (19 Nov) dan Vietnam pada 31 Mac 2020.
Skuad kebangsaan akan menempuh empat perlawanan di tempat lawan, bermula dengan aksi menentang Indonesia pada 5 Sept, Vietnam (10 Okt), UAE (26 Mac 2020) dan Thailand pada 9 Jun 2020.
Hamidin, bagaimanapun, mengingatkan skuad kebangsaan supaya tidak mengambil mudah pertemuan dengan tiga negara ASEAN berkenaan walaupun pernah bertemu beberapa kali dalam saingan Piala AFF Suzuki, selain aksi persahabatan antarabangsa.
“Sekiranya kita gagal mendapat tempat kedua dalam kumpulan, kita akan diundi sekali lagi untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2023 selepas ini, dan kemungkinan undian itu lebih sukar kerana kita bakal bertemu dengan pasukan seperti Uzbekistan, Syria dan Oman,” tegas Hamidin.
Dalam pada itu, katanya, beliau telah menghubungi Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Ratu Tisha Destria, semalam bagi memastikan keselamatan terjamin bagi pemain dan pegawai skuad kebangsaan yang akan bertandang ke Jakarta untuk aksi pertama pusingan kelayakan berkenaan menentang Indonesia pada 5 Sept ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial