KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Parlimen Malaysia sedang mengkaji penubuhan Kumpulan Parlimen Semua Parti (APPG) untuk menghimpunkan semua pihak berkepentingan dari pelbagai sektor bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata APPG yang melibatkan penyertaan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan badan-badan sektor swasta dapat menangani isu perpecahan politik dan merapatkan jurang antara Parlimen dan rakyat.
"Saya dengan sukacitanya hari ini menyatakan bahawa Dewan Rakyat sedang mengkaji secara serius idea ini.
“Jawatankuasa Dewan telah memutuskan dan bersetuju pada dasarnya bagi menubuhkan APPG di Malaysia," kata beliau dalam ucaptama ketika merasmikan “National Forum On Sustainability, Corporate Sosial Responsibility (CSR) and SDG 2019,” di sini hari ini.
Turut hadir Wakil Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNFPA) bagi Malaysia dan Thailand merangkap Penyelaras Residen ad Interim Malaysia, Marcela Suazo dan President of Kingsley Strategic Institute, Tan Sri Michael Yeoh.
SDG yang diterima pakai pada 25 Sept, 2015 oleh 193 negara sebagai susulan kepada Matlamat Pembangunan Milenium, menawarkan begitu banyak peluang untuk perkongsian antara kerajaan, perniagaan, masyarakat sivil dan penggubal undang-undang yang dapat membantu anggota Parlimen meningkatkan keterlibatan yang akan menyumbang kepada pembangunan mampan.
Mohamad berkata, APPG akan melengkapkan fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas yang antara lain akan memainkan peranan sebagai pemantau bagi isu-isu tertentu, membentuk agenda dengan menyediakan maklumat dan advokasi dan memastikan undang-undang dikuatkuasakan.
Beliau berkata garis panduan mengenai penubuhan APPG telahpun siap digubal untuk meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban.
“Antara lain keahlian dibuka kepada semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan pengerusinya hendaklah terdiri daripada anggota Parlimen dari parti yang memerintah dan setiap APPG dijangka mengadakan sekurang-kurangnya dua mesyuarat formal setahun,” kagtanya.
Mohamad Ariff berkata menginstitutsikan APPG adalah langkah permulaan ke arah mewujudkan Parlimen yang lebih kukuh.
"Perkongsian dengan CSO akan menghasilkan tindakan dan cadangan yang lebih jelas tentang dasar dan undang-undang untuk membolehkan Parlimen memainkan peranan penting dalam mewujudkan rangka perundangan yang memberi keutamaan kepada keperluan rakyat dahulu," katanya.
Apabila APPG ditubuhkan secara rasmi, ia juga menandakan satu lagi langkah dalam menunaikan janji ke-16 Manifesto Pakatan Harapan yang antara lain bertujuan untuk menggalakkan kerjasama dan keterlibatan yang lebih baik antara masyarakat awam dan Parlimen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial