Permulaan baik bagi Zii Jia [ 7m ago ]

Azmin tidak hadir Program Temurapat: itu urusan dia, bukan urusan saya - PM

Tarikh kemaskini: 19/07/2019
PORT DICKSON, 19 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ketidakhadiran Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat Keadilan sesi 2018/2021 malam ini, bukan urusannya.

Beliau turut menegaskan sama ada Mohamed Azmin hadir atau sebaliknya, itu adalah urusannya sendiri.

“His business, not my business (Itu urusan dia, bukan urusan saya),” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai ketidakhadiran Mohamed Azmin pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat Keadilan di Hotel Lexis Hibiscus Port Dickson, malam ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin dijangka menyampaikan ucapan pada hari kedua sesi pemukiman itu, esok selain disertai ucapan oleh tujuh Naib Presiden yang lain.

Sementara itu ketika ditanya berhubung kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa wujud pakatan jahat yang didalangi oleh pemimpin sebuah parti politik dalam kes pengedaran video seks berkaitan seorang menteri, beliau enggan mengulas mengenainya.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Setakat ini lapan orang termasuk Haziq Abdullah telah ditahan bagi membantu siasatan kes video itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu