KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- VentureTECH Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan dalam industri baharu termasuk yang memiliki nilai tambahan yang tinggi, menumpukan perhatian kepada pendigitalan dalam industri penjagaan kesihatan tempatan, khususnya melalui teknologi patologi yang menjanjikan peluang-peluang pertumbuhan yang besar.
Pengarah Urusan Dr Norida Abd Rahman berkata sebagai pelabur berimpak, syarikat itu mahu menyokong, antaranya pendigitalan industri penjagaan kesihatan Malaysia bagi meningkatkan kecekapan dan meringankan kos dalam penyampaian penjagaan kesihatan.
Yang paling utama, ianya bermatlamat untuk meringankan bebanan inflasi perubatan, yang ditanggung oleh kerajaan mahupun orang awam, sambil menambah VentureTECH akan melabur dalam syarikat yang benar-benar berkemampuan menyampaikan pulangan komersil dan limpahan kepada masyarakat.
"Kami mahu melahirkan peneraju industri tempatan yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi domestik serta mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi sambil mewujudkan limpahan manfaat kepada komuniti dan alam sekitar," katanya kepada Bernama.
Pada tahun lepas, syarikat berkenaan telah melabur dalam Clinipath (M) Sdn Bhd, salah satu daripada pembekal perkhidmatan patologi yang terkemuka di Malaysia.
Beliau yakin Clinipath, sebuah anak syarikat milik penuh Malaysian Genomics Resource Centre Bhd, berada dalam posisi yang sesuai untuk menerajui pendigitalan dalam pasaran patologi, bukan sahaja dalam negara ini tetapi juga di peringkat serantau.
"Pelaburan VentureTECH dalam syarikat tempatan yang berwawasan serta dinamik seperti Clinipath, sedikit sebanyak, akan membantu kerajaan mengubah sistem penjagaan kesihatan bagi mengekang pertambahan kos, meningkatkan kualiti dan memperluaskan akses kepada orang ramai," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Malaysian Genomics, Sasha Nordin berkata dana yang disalurkan oleh VentureTECH telah digunakan untuk menaik taraf sistem maklumat makmalnya.
"Kami menjadi makmal pertama di rantau ini yang membuat pelaburan dalam teknologi yang akan menggantikan slaid mikroskop dengan pendigitalan bagi menghasilkan imej pada satu resolusi yang amat tinggi supaya doktor kami boleh melihatnya pada skrin yang lebih besar," katanya.
Bagaimanapun, walaupun negara ini banyak merekodkan kemajuan teknologi, rakyat Malaysia wajar untuk mengutamakan kesihatan mereka dan belajar menghargai peluang yang ada kerana kos akan terus meningkat.
"Rakyat Malaysia amat bertuah kerana sebahagian besar daripada sistem penjagaan kesihatan awam masih diberi subsidi, tetapi rakyat mempunyai tanggungjawab bagi memastikan bahawa ia (subsidi) boleh diteruskan dan caranya adalah untuk memastikan kesihatan diri sentiasa kekal sihat," katanya.
Pembekal perkhidmatan patologi yang keempat terbesar di Malaysia, Clinipath adalah salah satu daripada enam makmal patologi yang berdaftar di bawah skim 'Peduli Kesihatan', program kesihatan kerajaan yang mensasarkan golongan berpendapatan rendah B40 di negara ini.
"Terdapat satu peraturan umum dalam perubatan iaitu lebih awal anda menerima penyakit, lebih murah untuk anda menangani masalah tersebut serta peluang menyelesaikannya juga lebih baik, inilah hakikat dalam pemeriksaan kesihatan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial