SUKAN

KL, PKNP tersingkir, Felda kekal di Liga Super

22/07/2019 12:27 AM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Pasukan Kuala Lumpur dan PKNP FC tersingkir ke saingan Liga Premier pada tahun depan selepas menduduki dua tangga tercorot carta Liga Super musim ini selepas perlawanan terakhir, malam ini.

Kuala Lumpur yang mengalami krisis perebutan kuasa dalam pengurusan sejak awal musim ini, tersingkir selepas menduduki tempat terakhir daripada 12 pasukan apabila hanya meraih 14 mata dalam 22 aksi musim ini berikutan kekalahan 2-1 kepada Perak malam ini.

Pada aksi di Stadium Perak itu, dua gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh pemain import dari Brazil, Rainderson Da Costa Morais pada minit ke-31 dan 67, manakala skuad ‘The City Boys’ mengurangkan defisit menerusi Luke Woodland pada minit ke-76.

Kuala Lumpur, yang pernah menjuarai Liga Divisyen pertama pada 1986 dan 1988, layak ke Liga Super pada tahun lalu selepas muncul juara Liga Premier 2017.

PKNP FC pula menduduki tempat ke-11 dengan 16 mata selepas tewas kepada pendatang baharu, Petaling Jaya (PJ) City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada aksi terakhir liga musim ini.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh penyerang import dari Brazil, Washington Brandao pada minit ke-75, untuk menghantar balik pasukan PKNP ke saingan divisyen kedua selepas dua musim di divisyen teratas itu.

Sementara itu, Felda United terselamat daripada penyingkiran selepas mengejutkan Kedah dengan kemenangan 5-1 di di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, sekali gus berjaya menduduki tempat ke-10 dengan 19 mata.

Skuad ‘The Settlers’ bermula garang menerusi jaringan awal pemain import dari Brazil, Jocinei Schad pada minit keenam, sebelum Muhammad Faiz Mazlan menggandakan jaringan pada minit ke-32.

Skuad Lang Merah kemudian cuba bangkit balik menerusi jaringan sepakan penalti Jonathan Jesus Bauman pada minit ke-78, namun Felda United meneruskan pesta gol menerusi Mohamad Khairul Amri Mohammad Kamal (85'), Jazasrin Jamaludin (90+2’) dan Kei Ikeda (90+3’).

Perlawanan itu turut dicemari dengan insiden kad merah apabila pemain Kedah, Renan Da Silva Alves diarahkan keluar padang selepas mengasari Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal pada minit ke-75.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan