KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Tangan diikat, mata ditutup dengan pita pelekat dan ditinggalkan di hadapan kawasan tanah perkuburan India Taman Setia Rawang, dekat sini.
Itu nasib seorang wanita warga emas yang disamun tiga lelaki dan seorang wanita, hari ini.
Wanita berusia 66 tahun itu ditemui orang ramai dalam keadaan mata dan tangan diikat dengan pita pelekat berwarna kuning.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Samsor Maarof berkata dalam kejadian yang dilapor pada pukul 10.48 pagi itu, wanita warga emas itu baru selesai menjalani pemeriksaan doktor dan mahu pulang ke rumahnya di kawasan Taman Tun Teja, Rawang.
“Dia dipelawa dua suspek iaitu seorang lelaki dan wanita yang mahu menghantarnya pulang. Ada dua lagi suspek dalam kereta yang sama dan mangsa dibawa ke hadapan sebuah kedai makan berdekatan sebelum disamun.
“Mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM3,000 apabila suspek membawa lari dua bentuk cincin emas, sepasang subang dan wang tunai RM110,” katanya ketika dihubungi.
Samsor berkata mangsa tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial