AM

Kerajaan Pulau Pinang komited bantu penggiat industri teknologi Nano

24/07/2019 08:38 PM

GEORGE TOWN, 24 Julai (Bernama) -- Dengan teknologi nano yang dijangka memainkan peranan besar dalam kemajuan ekonomi negara, peserta dalam industri itu perlu membangunkan dan meningkatkan produk mereka, kata Anggota Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai.

Sejajar dengan itu, katanya kerajaan Pulau Pinang komited untuk terus membangunkan industri teknologi negeri ini yang telah berkembang maju.

“Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas menawarkan peluang keemasan kepada syarikat teknologi nano untuk mewujudkan pengeluaran, yang akan memberi manfaat bersama bukan hanya kepada syarikat tetapi juga kepada kerajaan negeri,” katanya semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Sensor dan Teknologi Nano 2019 (Sensor dan Nano 2019) Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE) yang pertama di Batu Ferringhi di sini.

Wong mewakili Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Acara selama dua hari itu merupakan anjuran IEEE Malaysia Section Sensors & Nanotechnology Joint Councils Chapter dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Mikroelektronik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Institut Kejuruteraan Nano Elektronik dan Pusat Kecemerlangan Sensor Teknologi Termaju.

Pengerusi acara itu, Profesor Madya UniMAP Dr Mohd Khairuddin Md Arshad, berkata persidangan tersebut bertujuan menghimpunkan penyelidik daripada industri dan akademik untuk mengkaji pelbagai isu dan trend dalam bidang sensor dan teknologi nano, daripada bahan dan peranti kepada sensor dan aplikasi.

Beliau berkata sebanyak 70 kertas teknikal dari 25 negara dibentangkan pada persidangan itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan