AM

KAJIAN PEMETAAN TAPAK MEGALITIK LEMBAH TERACHI SEBAGAI USAHA PULIHARA WARISAN

27/07/2019 04:35 PM

PORT DICKSON, 27 Julai (Bernama) — Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) sedang menjalankan kajian pemetaan tehadap tapak batu megalitik di Lembah Terachi, Kuala Pilah dalam usaha memulihara serta melindungi kawasan berkenaan.

Timbalan Pengarah ATMA Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli berkata menerusi kajian itu semua tapak batu megalitik di Lembah Terachi direkodkan menggunakan sistem maklumat geografi bagi memastikan kawasan tersebut terpelihara.

"Projek pertama ini sudah bermula pada bulan Jun lepas melibatkan penyelidik dari UKM dan pihak LMNS dengan memberi tumpuan di kawasan Lembah Terachi dahulu. Kemudian kita akan pergi ke luak-luak lain bagi menjalankan kajian pemetaan tersebut.

"Selain itu, kita turut memberi penerangan terhadap Datuk Lembaga dan Penghulu di kawasan berkenaan mengenai pentingnya memelihara batu megalith.

Jika mereka ingin menukar batu nisan tersebut, mereka boleh menyerahkan batu megalith ke Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas iaitu sebuah galeri khas berkenaan batu megalith yang terdapat di Negeri Sembilan," katanya kepada Bernama selepas Seminar Antarabangsa Ke-8 Arkeologi, Sejarah, Bahasa & Budaya Di Alam Melayu (ASBAM 8) di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri Mohamad Nazaruddin Sabtu berkata kerajaan negeri telah menyalurkan dana khas kepada UKM untuk bersama-sama dengan pihak LMNS bagi menjalankan kajian pemetaan megalitik yang terdapat di Lembah Terachi.

"Ini disebabkan megalith termasuk dalam budaya material pengamalan Adat Perpatih dan hanya terdapat dalam luak beradat di Negeri Sembilan.

"Oleh itu, kajian pemetaan terhadap semua tapak yang terdapat di Lembah Terachi perlu diaktifkan selain berharap setiap tapak-tapak megalitik yang ada di negeri ini bukan hanya sekadar menjadi tempat untuk melakukan penyelidikan malahan juga dibukukan sebagai ilmu pengetahuan dan bahan bersejarah untuk tatapan masyarakat terutamanya generasi muda," katanya.

Beliau juga berharap agar tapak-tapak megalith dapat diangkat ke peringkat yang lebih tinggi iaitu di peringkat dunia dan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada masa akan datang.

"Saya juga turut dimaklumkan oleh pihak LMNS bahawa bermula pada 1 Julai lepas sebuah galeri khas berkenaan batu megalith yang terdapat di Negeri Sembilan telah pun dibuka di Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas.

"Diharapkan galeri ini mampu menarik kedatangan lebih ramai pengunjung daripada dalam dan luar negara di samping menjadi tambah nilai kepada produk pelancongan yang sedia ada di negeri ini," katanya.

ASBAM 8 yang merupakan anjuran UKM dengan kerjasama daripada Institut Alam dan Tamadun Melayu dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan ini berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan dihadiri 200 peserta dari dalam dan luar negara, menyaksikan sebanyak 110 kertas kerja akan dibentangkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan