TANGKAK, 3 Ogos (Bernama) -- Para graduan di negeri ini perlu mengejar peluang pekerjaan yang ada di samping tidak mengenepikan pengetahuan dalam bidang digital yang begitu meluas ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata persediaan rapi juga perlu ada dalam diri setiap graduan agar mereka tidak kekok dengan tugasan yang diberikan kelak.
Menurutnya, perkara itu penting dalam menonjolkan kemahiran serta membuktikan keyakinan kepada majikan masing-masing yang para graduan amat bersedia untuk berada dalam industri.
“Sekarang ini banyak perkara terkait dengan teknologi terkini dan para graduan perlulah mempersiapkan diri, selain itu perkara yang paling penting adalah pengetahuan graduan berkaitan latar belakang syarikat serta skop tugasan yang dipohon di sesebuah perusahaan.
“Pemohon harus bersedia dengan membuat kaji selidik berkaitan latar belakang majikan. Pengetahuan mengenai syarikat yang dipohon penting kerana ia membantu graduan memperoleh peluang untuk diterima bekerja,” katanya pada Karnival Kerjaya Johor Bestari 2019 bersempena Festival Roda dan Gincu di Dataran Tangkak, di sini hari ini.
Menurut beliau, antara penyebab ramai graduan menganggur adalah kerana terlalu memilih kerja dengan begitu taksub untuk bekerja dalam bidang yang mereka minati sahaja.
Jelasnya tidak salah sekiranya para graduan mengambil peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada mereka walaupun ia tidak selari dengan kelulusan.
“Seharusnya setiap peluang yang ada perlulah direbut, di mana bekerja bukan mengikut kelulusan ini sebenarnya menambah pengetahuan, sekali gus mempunyai pengalaman yang tersendiri,” katanya.
Dalam pada itu, karnival berkenaan menawarkan sebanyak 1,783 peluang pekerjaan dan setakat hari ini, seramai 63 graduan telah mendapat pekerjaan semasa karnival berlangsung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial