Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) – Malaysia perlu manfaatkan kedudukan kukuhnya di peringkat ASEAN bagi meningkatkan perdagangan dengan China yang berpenduduk seramai 1.3 bilion orang dan membuka lebih banyak pasaran e-dagang di peringkat pinggir bandar dan pedalaman.
Presiden Persatuan Perniagaan China-ASEAN (CABA) Tan Sri Lim Gait Tong berkata dagangan China dengan ASEAN juga terbukti telah berkembang pesat yang menyaksikan rantau ini muncul sebagai pengeksport terbesar ke China dan mengatasi Amerika Syarikat (AS).
"Kita perlu merangka dan melaksanakan strategi baharu. Ketika perdagangan China-ASEAN mendapat rangsangan baharu, negara-negara ASEAN sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada perdagangan intra-ASEAN serta membuka peluang perdagangan lain termasuk eksport ke negara-negara Asia dan Afrika lain," katanya kepada Bernama.
Jumlah perdagangan antara China dan ASEAN mencecah rekod tertinggi sebanyak US$587.87 bilion pada tahun lepas iaitu meningkat 14.1 peratus berbanding 2017.
Lim juga percaya perdagangan China dan ASEAN akan terus meningkat dan melepasi nilai US$1 trilion.
Namun pada masa sama, beliau mengingkatkan walaupun dagangan ASEAN menyaksikan aliran peningkatan, ini bukan jaminan ia terus kekal positif terutamanya jika pertikaian antara AS dan China terus meruncing.
"Kita optimis, walaupun secara berhati-hati bahawa dagangan dengan China akan terus berkembang berikutan hubungan kukuh Malaysia dengan China," katanya.
Menyentuh perang perdagangan Washington dan Beijing yang belum menampakkan penyelesaian dalam masa terdekat ini, beliau berkata Malaysia sewajarnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh asas-asas inovasinya.
“Kita telah melakukan pengeluaran produk tulen (OEM) untuk negara-negara seperti Taiwan dan Jepun bagi satu tempoh yang lama. Saya percaya sudah tiba masanya untuk Malaysia membina imej jenamanya sendiri,” katanya.
Menurutnya, sebagai contoh, pasaran perabot mempunyai potensi besar untuk terus meningkat terutamanya dalam pasaran Eropah jika aspek inovasi tempatan diutamakan.
“Ini kerana kita boleh mendapat lebih banyak nilai jika produk itu merupakan hasil inovasi dan direka oleh kita sendiri berbanding OEM,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial