PUTRAJAYA, 5 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini melancarkan Pertandingan Video Kreatif “Hentikan! Stop It!” dan Soal Selidik Mengenai Gangguan Seksual sebagai langkah advokasi dan pengumpulan input daripada masyarakat umum.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kedua-dua inisiatif itu menyasarkan semua golongan masyarakat untuk mengambil peranan aktif dengan memberi input untuk digunakan dalam penggubalan dasar dan pelaksanaan inisiatif kerajaan berkaitan isu gangguan seksual.
“Usaha untuk menghentikan sebarang bentuk keganasan ke atas wanita ataupun lelaki, termasuk gangguan seksual, memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang sebarang bentuk keganasan yang berasaskan gender (gender-based violence),” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Dr Wan Azizah melancarkan Pertandingan Video Kreatif “Hentikan! Stop It!” dan Soal Selidik Mengenai Gangguan Seksual.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri KPWKM berkata masih terdapat stigma terutamanya dalam kalangan mangsa bahawa mereka tidak mendapat pembelaan sewajarnya dan masyarakat seharusnya tidak menyalahkan mangsa apabila terjadinya kes gangguan seksual.
Menurutnya dari Januari sehingga Jun tahun ini, sebanyak 711 kes dilaporkan berkaitan kesalahan gangguan seksual di bawah Seksyen 354, Seksyen 377D, Seksyen 377E dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan dipercayai masih ada kes yang tidak dilaporkan.
Pertandingan Video Kreatif itu yang bermula hari ini hingga 5 Okt 2019 terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Dr Wan Azizah mengharapkan penglibatan masyarakat dalam memahami bagaimanakah setiap individu boleh memainkan peranan dalam mencegah sebarang bentuk keganasan, termasuk gangguan seksual.
“Kami berharap pertandingan ini akan memberi inspirasi kepada golongan masyarakat, terutamanya anak-anak muda, untuk mencabar pemikiran dalam meningkatkan kesedaran tentang gangguan seksual secara efektif,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai Pertandingan Video Kreatif “Hentikan!, Stop It!” itu boleh didapati di laman sesawang KPWKM dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Katanya kajian soal selidik dalam talian mengenai gangguan seksual pula akan berlangsung selama sebulan bermula hari ini (sehingga 5 Sept).
Borang kajian boleh didapati di laman sesawang www.kpwkm.gov.my dan www.jpw.gov.my serta di media sosial kementerian dan JPW.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial