AM

Minggu Sains 2019 peringkat negeri Melaka bermula

06/08/2019 08:57 AM

MELAKA, 6 Ogos (Bernama) -- Minggu Sains Negara (MSN) 2019 Peringkat Negeri Melaka fasa dua, kini berlangsung di peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) terpilih di sekitar negeri ini.

Menurut kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) hari ini, dua IPT terpilih itu ialah Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang diadakan bermula semalam selama empat hari.

“Di peringkat sekolah pula, MSN 2019 bermula hari ini selama tiga hari melibatkan masing-masing empat sekolah rendah dan menengah di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin,” kata agensi di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) itu, di sini.

Dalam pada itu, Karnival MSN 2019 peringkat negeri Melaka pula akan diadakan selama tiga hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, bermula 15 Ogos nanti.

Penganjuran MSN 2019 bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sains, teknologi dan inovasi dalam kehidupan seharian serta menghargai dan mengiktiraf sumbangan dan kejayaan dalam bidang sains, selain menarik lebih ramai pelajar memilih jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selaras dengan agenda STEM Negara.

Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung karnival tersebut termasuklah pameran Sains, Teknologi dan Inovasi; simulasi dron; pertunjukan Sains, Teropong Angkasa; Science Buskers; Sains Photo Booth; bengkel dan demonstrasi roket air dan Planetarium Digital.

“Ceramah Sains juga akan diadakan bersama personaliti sains bagi berkongsi pengalaman dan ilmu dengan pengunjung terutama pelajar dan murid sekolah serta IPT berkaitan bidang STEM.

“Orang ramai boleh melayari Facebook Angkasa untuk melihat jadual, aktiviti dan program sepanjang MSN 2019 Peringkat Negeri Melaka berlangsung," kata agensi itu.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan