AM

Malaysia dijangka alami cuaca panas sehingga Oktober 

08/08/2019 08:03 AM

 

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Malaysia dijangka mengalami cuaca panas dan kurang taburan hujan sehingga Oktober ini, kata Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis.

Beliau berkata selain Malaysia, negara jiran Singapura dan Sumatera, Indonesia dijangka turut mengalami cuaca yang sama.

"Kita jangka akan mengalami kekurangan taburan hujan dengan cuaca lebih panas dan kering...tahun ini tanpa fenomena El Nino dan La Nina sehingga Oktober," katanya ketika ditanya mengenai intipati Mesyuarat Ke-21 Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan Jawantankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Wilayah Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang berlangsung di Brunei.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada program temu bual Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan beliau berkata kelima-lima negara yang terlibat telah membentangkan tindakan yang telah diambil untuk menangani kejadian kebakaran dan jerebu di negara masing-masing.

"Antara maklumat tindakan yang dikongsi ialah menjalankan pemantauan cuaca dan titik panas secara berterusan, menguatkuasakan undang-undang dan mensiap-siagakan peralatan dan sumber tenaga manusia untuk sama-sama memantapkan pemadaman kebakaran," katanya.

Mesyuarat tahunan yang melibatkan empat negara Asean lain iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand diadakan bagi memantau dan memperincikan langkah yang diambil dalam mengatasi jerebu merentasi sempadan itu.

Inisiatif untuk menangani masalah jerebu di peringkat Asean telah dimulakan selepas episod pencemaran yang serius pada 1997 yang telah membawa kepada termeterainya penjanjian Asean Mengenai Jerebu merentasi sempadan yang ditandatangani oleh 10 negara di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2002.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan